Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Covid19 di tahun 2022 - Sekarang tak perlu pakai gelang pink

Sunday, 13 February 2022

Assalamualaikum dan hai semua! 

Rabu lepas, on the way balik kerja tiba-tiba selsema and tekak tak selesa. Ingatkan sebab makan pedas or sebab opis sejuk sangat. Semua sweater and jaket aku dah angkut bawak balik rumah dari tahun 2020 lagi. Tak terfikir pulak nak bawak balik once dah kembali keje opis. 

Balik tu makan ubat selsema dan ubat batuk then tidur. 

Pagi Khamis bangun nak pergi kerja rasa tak sedap badan and sakit kepala. Damn..taknaklah demam. Ikut hati nak lanyak je gi kerja tapi takut plak kat opis kang tetibe sakit. Dah tak memasal famili aku kena datang amik. So aku cakap dengan bos nak amik MC. 

Dalam pukul 2 macam tu, before g klinik, buat RTK dulu. Risau la jugak. Takut bawak virus kat staf klinik dan pengunjung lain. Dok doa janganla 2 line. Padahal bila dok google simptom macam Covid 19. Sebab kalau allergy reaction atau resdung selalunya tak demam. 

Mengelirukan betul result test ni sebab line bawah tu pudar. Tapi aku pernah buat RTK ni, kalau negatif, memang bawah tu takde line langsung. Ni ada line walaupun halus, consider positif la. Terus contact HR, contact bos dan update MySejahtera. Itu pun jenuh wasap sini sana bertanya prosedur. Aku memang takde pengalaman Covid19 ni. Swab test pun tak pernah tau. Dara lagi hidung aku. 

Gara-gara aku, semua yang ada kat opis tu kena balik and ditutup seminggu untuk sanitasi. Aku rasa bersalah pulak. Benda ni takkan jadi kalau aku keje dari rumah. Sejak kes naik balik hari tu, bos aku memang cakap siapa yang boleh WFH, sila kembali WFH. Aku je yang degil sebab macam best lak keje opis. Pergi boleh rilek-rilek naik LRT. Badan pun senang letih and malam tidur lena. 

Kesian opismate aku sebab kat opis kitorang pakai PC, bukan laptop. Kena angkut balik on the spot. PC dahla berat namatey. Opis aku jenis company ol skool, pakai PC. Lainla company moden cam opis korang. 

Aku? PC aku je yang masih kat opis. Ah.. Aku menyumpah diri aku. Serius aku menyesal tak ambil lepas siap repair hari tu. Semua gara-gara aku takut bawak kete gi opis. Masa nak hantar repair, aku gigih pergi masa cuti Chinese New Year sebab boleh park tingkat 2. Tapi tulah, lepas habis cuti CNY la baru PC tu siap. 

Aku trauma la, kereta aku pernah tersagat parking opis masa on the way turun, dekat RM300 duit aku melayang untuk repair. Opis aku parking sempit dan kena park tingkat 13 ke atas. Bab driving and parking aku memang bangang sikit. Memang tak suka drive, tapi takkan nak bawak PC seberat dosa silam tu naik LRT. 

So.. Nampaknya sampai hari ke 7 kuarantin aku menung je kat rumah. Aku ok je kalau kena kerja dari rumah time kuarantin provided aku sihat. Tapi dah takde PC, cmane nak kerja

Sambung cerita tadi...Khamis tu memang aku demam, badan seram sejuk, selsema, batuk dan sakit tekak. Rawat la diri sendiri, duduk sorang dalam bilik. Makanan pun mak aku hantarkan. Susah sikit bab tandas jela sebab rumah aku satu tandas, satu bilik mandi tapi takkanlah nak memerut kat bilik mandi. Lepas guna je kena sanitize. Dalam dok sakit tu buat jela. Risau kalau jangkit kat ahli keluarga lain. 

Tengahari Jumaat baru Mysejahtera update, kuarantin sampai Khamis depan. Seminggu je sebab aku dah booster dan sebab aku tak gejala teruk. Jumaat tu demam dah kebah cuma masih batuk. Takdelah sampai sesak nafas dan muka jadi biru. 

Sabtu dapat mesej suruh pergi CAC tapi aku ignore sebab aku dapat info yang kategori 2B ke atas je yang kena pergi. Just that dekat MySejahtera bahagian 'Things To Do' tu kena update simptom dan bacaan suhu badan, tahap oksigen, heartbeat etc setiap hari. 

Malam tu dapat mesej sama lagi, so aku pakat dengan famili aku, pergi jugaklah CAC. Kang takut plak tetibe muncul ambulan depan rumah. Padahal time tu aku dah sihat sikit. Dah boleh vakum bilik and aku intai-intai TV. Malam siap layan game Man Utd filem Khushi kat Awesome TV. 

Pagi tadi (Ahad) pergilah kami sekeluarga ke CAC yang dekat dengan rumah. Aku drive sendiri la tak boleh share kereta dengan ahli keluarga lain. Nasib baik CAC aku pergi tu parking senang and orang tak ramai sebab hari Ahad. 

 
Sampai CAC, jumpa seorang pegawai bertugas, dia tengok MySejahtera aku pastu dia kata tak payah datang pun sebenarnya. I was like... Eh... Habis tu mesej ni? 

Mesej tu rupanya auto send dekat orang yang report result test positif di MySejahtera. Tapi takpelah, puas hati dapat tanya sendiri. Petugas tu bagitau yang sekarang tak pakai gelang. Oh pulak. Hanya datang CAC kalau gejala kategori 2b ke atas atau warga emas atau ada sakit kronik. 

So kami pun pulang. Kalau tak kerana kuarantin boleh gi breakfast kat pasar Dato Keramat. Haha. 

Alhamdulillah, ramai jiran-jiran dan kawan yang baik hati bagi makanan macam-macam sepanjang kami sekeluarga kuarantin ni. Aku actually risaukan mak ayah and adik aku je. So aku stay sejauh-jauhnya dari diorang. Aku cuba lah untuk uruskan diri sendiri macam basuh cawan dan kemas sisa makan aku sendiri. Axion dan span aku guna asing. Toiletries pun sama. Tu pun aku dok leter diorang pakai sarung tangan dan facemask bila masuk toilet and guna sinki.

Sewaktu entry ini ditaip, hari ke tiga kuarantin, aku dah makin sihat. Suhu normal, paras oksigen lebih 95 dan heartbeat normal. Cuma kahak ni je liat nak tinggalkan tekak walaupun dah bercawan-cawan honey lemon aku minum. 

4 hari lagi. Entahlah Jumaat HR benarkan aku gi opis ke tidak. Itupun kena buat RTk dulu make sure negative. Kalau benarkan aku kena gi amik PC. Suka tak suka kenalah drive. Kang naik LRT lagi kang bos aku bising sebab aku suspect dapat Covid19 ni dalam tren.

Dah nak kena kan. Apa boleh buat. Vaksin 2 dos tak dapat Covid, lepas booster pulak kena. Padahal selama ni ke hilir Sungai Kinta sampai ke puncak Genting aku merayap. Pergi opis yang jarak 15 km dari rumah tu yang kena. Omicron sangat mudah berjangkit. 

Guess I really need to watch my health lah. Mentally and physically. Last month demam and period delayed. Bulan ni kena Covid pulak. Teguran Allah lah tu pada aku.

Oh by the way kalau allignment entry ni tunggang-langgang, terima jelah sebab aku update pakai hp. PC rumah ni kt ruang tamu so tak dapat guna. Job hunting pun dah berapa hari miss. Sedihnya. 

So kesimpulannya..ini apa yang korang kena buat lepas buat self test RTK dan dapat result positif. 

1. Report di MySejahtera - cari icon Covid19 Self test. 
2. Tick simptom yang berkenaan. Jawab dengan jujur. Standby alat pengukur tekanan darah, oxymeter (ukur paras oksigen) dan termometer di rumah. 
3. Self treat kalau takde gejala ekstrem macam sesak nafas or muka dan tangan bertukar kebiruan. 
4. MySejahtera akan tunjuk berapa lama kena kuarantin dan samada kena ke CAC atau tidak. 
5. Update status kesihatan setiap hari. Bacaan suhu, heartbeat etc. 

So marilah kita terus jaga SOP. Nak pesan korang supaya stay at home macam tak patut pulak sebab aku sendiri pun kuat berjalan. Haha. 

Doakan aku sihat. Ada idea nak buat apa 4 hari ni? Jemu tengok skrin handphone. 

Read More

Demam sebab tersampuk rumah tinggal? Atau sebab makan roti berkulat?

Thursday, 6 January 2022

Assalamualaikum dan hai semua! Pagi Isnin baru ni aku teringin nak makan telur goreng dikapit roti. Parent aku puasa dan adik aku kerja office so aku breakfast sorang-sorang. Dah goreng telur, ambil roti tetiba nampak ada kulat sikit dekat kulit roti. Sebab malas nak gi kedai dan dah lapar sangat, aku potong je kawasan berkulat dan bakar roti tu. Nampak sangat dah banyak kali buat kan? Hihi.

Sepanjang hari takde apa berlaku. Aku buat kerja macam biasa dari rumah. Petang tu lepas kerja aku gi jogging dengan adik aku. Kebetulan dia balik kerja awal.

Actually takdelah joging sangat. More like jalan-jalan release tension. Stress asyik terima rejection email dari company yang aku apply kerja. Kadang-kadang rasa nak give up. Kecik hati lah bila orang kata aku tak bersyukur. Nak improve hidup pun salah ke? 


Anyway macam biasa bila jogging akan lalu kawasan rumah tinggal ni. Ikutkan banyak kali dah jogging sini tapi selalunya pagi. Kali ni je lalu menjelang Maghrib. Or maybe sebab aku cakap benda merepek kat adik aku kot masa tu? Wallahu'alam. 

Pagi Selasa bangun tetiba muntah. Ingatkan sebab gastrik so makan ubat. Perut bergelodak, eh cirit-birit pulak. Definitely bukan gastrik. So makan Chi Kit Teck Aun. Alhamdulillah lega. Nak MC malas ke klinik. Lagipun kerja dari rumah dan tugasan tak banyak. Dah tak muntah dan tak sakit perut so buat bodoh je.

Tengahari tu tetiba rasa badan panas. Ambil tuala basah letak atas kepala. Buat kerja sambil baring. Sempat blogwalking lagi. 

Struggle jugaklah nak survive sampai pukul enam. Tahan mata tak nak tidur sebab tengah kerja kan. Malam start sakit kepala sebab panas sangat. Makan nasi pastu makan panadol. Tidur. Sempat mengucap dulu sebelum tidur. Manalah tau tak bangun. Hopefully tak bangun.

Pagi Rabu terjaga. Oh Tuhan nak panjangkan umur sebab belum sempat taubat lagi. Dosa pun banyak. Sedar diri sikit. Alhamdulillah demam dan kebah. Mungkin jugak demam sebab kehujanan Sabtu lepas. 

Dan hari ini, teruskan hidup macam biasa walau terlalu banyak terkucil hati sana-sini. 

Doakan aku sihat mental dan fizikal. Doakan aku dapat kerja lain jugak. 

Thanks for reading. Malas betul nak menulis lately. Ikutkan nak hidup pun malas. 


Sorry for the negative vibe. Tak ada tempat lain nak meluah

Read More

AstraZeneca Second Dose at PPV PWTC

Saturday, 28 August 2021

Assalamualaikum dan hai semua! Setelah 8 minggu menunggu, tiba giliran untuk aku ambil dos kedua vaksin AstraZeneca (AZ). Interval vaksin AZ jauh berbanding vaksin lain, tapi ia tidak mengurangkan keberkesanannya. Jadi penerima vaksin AZ tak perlu risau.

Sewaktu entry ini ditaip, PPV PWTC hanya menyediakan suntikan dos kedua dan tak ada walk-in. Di peringkat awal program vaksinasi, vaksin AZ hanya diberi kepada mereka yang mendaftar secara sukarela, tetapi mulai 27 Mei 2021, vaksin ini mulai diberi kepada umum. 


Just like last time, walaupun aku sampai awal, tapi dibenarkan masuk. Proses kali ini lebih lancar dan tak perlu naik ke tingkat atas. Maybe sebab tinggal second dose sahaja. Orang pun tak ramai. 



Jangan lupa bawak I/C dan kad vaksin yang diberi semasa dos pertama

Aku lebih nervous kali ni kerana kata orang, kesan sampingan AZ dos kedua lebih teruk. Kali ni aku perhati betul-betul botol vaksin dan jarum sebelum disuntik. Tahan nafas dan berzikir dalam hati, menanti untuk kena inject. Tetibe nurse tu tegur aku,

"Eh..janganlah lari.."

Rupanya disebabkan takut jarum, aku tak sedar yang badan aku menjauh dari dia.  Adeh malunya! Nurse tu suruh aku rileks dan pandang depan. Masa jarum tu masuk menyeringai la aku sekejap tapi aku fokus kat dinding putih depan aku. Nurse tu suruh aku 'lembutkan tangan'. 

Kali ni tak 'lari' dah. Hahaha. Punyalah fokus aku kat dinding sampai tak perasan dah sudah. 

"Jauh pandangnya tu". 

Tak silap aku itulah ayat nurse tu usik aku sambil tampal plaster. Segan pulak tua-tua ni takut jarum lagi. Mesti dah macam-macam perangai nurse tu hadap hari-hari kan? Aku ni nasib baik tak lari betul-betul. Huhu. Memang jauh pandangnya Cik Misi, dah sampai Australia.


Ruang pemerhatian kesan sampingan selepas suntikan

Disebabkan Hari Kebangsaan dah dekat, Pusat Vaksin PWTC pasang background lagu-lagu patriotik. Petugas pula bawak bendera kecil and ucap 'Selamat Hari Merdeka' sewaktu kami tiba di ruangan pemerhatian. Masa petugas tu suruh bagi tepukan kat diri sendiri sebab dah complete dua dos, rasa macam kat kem motivasi pulak. Haha. Rindu pulak suasana gitu. Harap dapatlah attend event lagi macam sebelum pandemik.


Mood patriotik kan, so sis make sure ada bendera Malaysia dalam gambar.


Kali ni tak perlu jalan jauh nak ke stesen LRT sebab pintu menghala ke Seri Pacific Hotel dibuka. Tapi hanya untuk 'Exit' sahaja. 

Tak dapat goodies pulak. Maybe ada kalau ikut pintu lagi satu tapi aku malas jalan jauh.

Setiap kali ke PWTC ni memang bring back memories bertugas di pesta buku dan Perhimpunan Agung UMNO zaman kerja arkib dulu. Rindunya, tapi masa silam tak mungkin berulang sebab dah pindah department.


Singgah Sunway Putra Mall. Nampak bernyawa sikit pusat beli-belah ni bila dah banyak kedai dibuka. 


Trend tahun 2010-an dulu, ambil gambar kat cermin toilet


Upah diri sendiri. Frappe Family Mart Peanut Butter Chocolate. 

Sedap ke? Hurm..if korang suka kacang sedap lah kot. Rasa kacang mengatasi rasa coklat. Butir kacang tanah banyak dan boleh kunyah. Plan asal nak beli Adzuki Matcha tapi tak ada. FM Sunway Putra ni baru nak bukak. Rak makanan tu pun kosong lagi. Pastu beli jugak Frappe Family Mart Grape. This one boleh tahan sedap. Rasa macam minum vitagen purple pun ada.


Last but not least tapau Cinnabon sebab kempunan kali terakhir ke Sunway Putra Mall.

Banyak juga kedai stationery dan pakaian dah dibuka tapi aku malas nak singgah. Takde apa nak dibeli. Hanya singgah Watson je dan cuci mata tengok kedai-kedai makan di level bawah. Nak dine in tapi belum masuk kategori lengkap divaksin. Walaupun dah 2 dos, tapi kena tunggu 14 hari lagi untuk betul-betul build immunity. 

Side effect kali ni sama macam last time. Aku hanya demam pagi berikutnya. Mandi dan rehat. Walaupun tak makan ubat, demam kebah sendiri. Cuma lengan kiri rasa sengal terutama tempat suntik. Alhamdulillah tak teruk. Ada tak reader blog ni yang ambil AZ jugak? Side effect korang teruk ke? 

Harap usaha aku ni dapat menyumbang kepada herd immunity supaya Malaysia dapat merdeka dari virus Covid 19.

Siapa lagi yang dah complete vaksin? Sep sikit! Buat yang belum tu harap sabar menanti giliran. Sama je dah complete ke tidak..tak boleh balik kampung jugak. 

Nota kaki : Excited dapat tahu YB Khairy Jamaluddin pegang portfolio Menteri Kesihatan. Harap YB dapat bendung virus Covid 19 di Malaysia. Semoga kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United membuatkan YB lebih bersemangat. 


Thanks for reading! Stay Safe and Selamat Hari Kebangsaan!
Read More

First dose AstraZeneca at PWTC is done!

Tuesday, 29 June 2021

Assalamualaikum dan hai semua! Cerita Jumaat lepas, simpan sini buat kenangan. My first dose of vaksin AstraZeneca(AZ) is done dengan PWTC as PPV (Pusat Pemberian Vaksin). 


Dapat slot ni setelah mendaftar secara sukarela sewaktu ia dibuka untuk kali kedua. Masa first time tu tak aware. Tau-tau eh ramainya dah amik vaksin. The downside of tak aktif di media sosial. Huhu. Tau pasal sesi pendaftaran sukarela kali kedua ni melalui group whatsapp, so terus standby untuk book tarikh. Harapkan dapat tarikh sama dengan adik, ada gang nak borak. Gara-gara sistem jammed dengan manusia dan robot yang tak habis-habis suruh klik gambar traffic light, tak dapat pulak.

AZ merupakan vaksin yang dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Oxford University dan dikeluarkan syarikat Sweden-UK. Sumber: What You Need To Know About AZ. Kontroversi yang vaksin ini menyebabkan 'blood clot' dan ditolak oleh beberapa negara besar Eropah seperti Itali, Jerman, France, Denmark etc (SUMBER) menyebabkan rakyat Malaysia takut nak ambil AZ. Sebab tu ia dibuka secara sukarela. Siapa yang tak nak, boleh tunggu giliran untuk Sinovac atau vaksin lain yang akan kerajaan Malaysia beli. Takde paksaan. Jangan gaduh-gaduh.



Aku tak mau drive (seperti yang dijangka), so aku amik Grab je. Plan asal nak naik LRT tapi pagi kejadian malas pulak. Before pergi, makan nasi goreng siap-siap dan tapau burger breakfast MCD takut habis lambat. Sejenis kurus cikeding tapi tak boleh lapar.

Aku sampai kul 10.15 pagi, tapi walaupun slot pukul 11, dibenarkan masuk tanpa banyak soal. Check awal-awal kat MySejahtera korang stesen mana. Semua stesen sebelah menyebelah je.

Kerusi banyak so tak perlu risau lenguh berdiri

Rindunya memori Pesta Buku dan MATTA Fair kat PWTC ni.

Dekat skrin TV tu ada briefing pasal vaksin AZ dan cara isi borang

Pernah bercadang untuk mendirikan rumah tangga tapi sekarang cadangan ditutup. Hahaha.

Aku salute lah dengan management PPV PWTC ni sebab pantas dan effisien. Baru nak duduk dah kena usher ke next area. Bayangkan tak habis isi borang lagi, nombor dah keluar kat skrin. Untuk yang kena gi inject vaksin sorang-sorang tak perlu risaulah, takkan ada tetibe sesat, tersalah masuk dewan ke apa ke. Ada orang kan jenis nak buat apa-apa je kena teman walaupun sihat walafiat. Tapi tulah orang kata jadi perempuan jangan berdikari sangat, nanti susah dapat jodoh. Eh ni kena buat entry lain.

Dipendekkan cerita, aku settle injection dalam masa tak sampai setengah jam. Memang laju. Before inject, nurse akan tunjuk botol dan jarum vaksin mengesahkan yang dia inject tu AZ. Ada je orang ambil gambar lah video lah, tapi aku dok ketaq lutut. Tau nak habis cepat je.

Ruangan pemantauan, if ada side effect dalam masa 15 minit selepas divaksinasi boleh bagitau petugas

Alhamdulillah lepas habis 15 minit, tak ada apa-apa rasa pelik pada badan, aku pun gerak keluar. Ambil gambar dulu kat photo booth yang merata di setiap floor. If datang sorang, boleh mintak stranger ambilkan, tapi take caution lepas tu sanitize handphone korang ye.

Before balik aku singgah Sunway Putra Mall on the way ke LRT. Side effect tak immediate, tapi bergantung pada orang. If dah start rasa pening, baliklah terus. Aku OK so lepas gian merayap. Cari ATM, singgah Watson dan gi toilet. Toilet PWTC tak best, yang tau tu taulah. 

Mall ni memang sendu. Dah PKP sendu ganda 23 lah jadinya



Deko raya pun tak bukak lagi. Kalau ada best friend aku ni memang dah macam-macam gaya pose

Konon nak beli tapi tak siap masak lagi so balik jelah makan Burger McD. Most kedai makan kat mall ni if datang before kul 12 memang belum ready. 

Lama tak naik LRT. Teringat accident LRT hujung Syawal hari tu so duduk kat tengah-tengah.

Side effect aku kategori mild. Aku vaksin Jumaat, pagi Sabtu baru rasa nak demam. Tepek Cool Fever, by tengahari dah reda. Sengal di area kena cucuk hilang hari berikutnya. Entahlah immune system aku terlampau kuat atau dah crashed. Hahaha. Macam hard drive pulak. OKlah tu ada side effect. Bila masuk benda baru dalam badan, memang ada reaction. If takde or side effect berlarutan sampai 3 hari kena check OK.

Untuk korang yang nak vaksin, I wish you all the best. Consult dengan pakar dulu if ada penyakit, on medication, pregnant atau menyusukan anak. Jangan percaya doktor tak bertauliah. You know your body better. If tak nak vaksin pulak, jangan sampai doakan mudarat untuk orang yang dah atau bakal ambil vaksin ni. Jadi manusia jangan keji, kita semua nak hidup sihat.

Semoga usaha aku ni menyumbang kepada herd immunity agar kita dapat hidup bahagia macam negara-negara yang dah bebas Covid. 
Read More

Dah kurus pun nak exercise?

Tuesday, 19 January 2021

Sejak work from home 100% , aku dah mula amalkan rutin exercise setiap pagi. Kalau dibenarkan rentas daerah, on weekend aku pergi morning walk dengan kawan-kawan. Bila PKP, terpuruk di daerah sendiri dan public park ditutup, aku jogging di kawasan perumahan. Jogging seminggu sekali cukuplah. Haha.

Kalau jogging di kawasan perumahan, carilah yang redup dan jauhi kawasan sunyi sekiranya jogging bersendirian. Amalkan penjarakan fizikal.  

Once upon a time kat Tasik Botani Putrajaya

Turun KL best gak, cuci mata tengok laki orang main basikal. Haha. Jangan risau, tengok je tak usik.

Exercise aku level beginner je. Just follow video Youtube. Masa mula-mula dulu mencungap jugak. Kurus tak semestinya fit ye. Aku dapat keinsafan nak exercise bila aku perasan badan aku agak stiff. Nak bangun pun kena paut meja macam orang tua! Bila buat 'plank', hanya mampu tahan 2 saat dah tersembam ke lantai. Teruk betul!

2 saat je kau buat plank Sal? Meh sini abang Thor ajar! Credit: Google image

Selain daripada untuk tingkatkan fitness yang menurun seiring usia, aku ada sebab sendiri jugak kenapa aku jadikan ia rutin (Walaupun kadang-kadang ter skip. Hehe). Antara sebabnya adalah: 

1. Elakkan sambung tidur lepas solat Subuh

Aku ada masalah susah tidur. Dah tidur susah bangun pulak. Lol. So aku akan pastikan pagi aku aktif untuk menepis godaan katil. Ia juga boleh jadi motivasi bangun awal bila cuti solat. Tidur kalau dilayan memang terlajak. Bila bangun lewat, malamnya aku susah tidur. Ulang. Sampai bila nak macam tu kan? So kenalah ubah.

2. Bila badan penat, malam tidur lebih lena

Waktu aku sakit dulu, aku makan pil tidur setiap malam supaya dapat lelapkan mata. Pil tidur ni memang buat kita tidur lena tanpa mimpi, tapi ada side effect iaitu keletihan kronik di siang hari esoknya. Walaupun aku dah stop makan ubat-ubat tu sekarang, tapi since badan dah terbiasa harapkan 'bantuan', aku akan susah tidur kalau badan tak penat di siang hari. Exercise adalah cara yang aku amalkan supaya badan letih. 

Iklan sekejap untuk yang memerlukan

3. Kurangkan simptom resdung

Siapa ada resdung mesti faham perasaan bersin bertalu-talu di pagi hari. Cuaca sejuk memburukkan keadaan. Exercise dapat membantu meningkatkan peredaran darah, hence legakan sakit kepala dan lancarkan pernafasan. Lazimnya aku start je exercise, bersin pun berhenti. Siapa ada resdung  boleh try cara aku. Tapi buanglah dulu hingus tu. Hahaha.

4. Reduce stress

Menurut kajian, bersenam menghasilkan endorphin, hormon yang dapat meningkatkan perasaan gembira. Antara terapi yang sering dicadangkan oleh pakar untuk mereka yang selalu stress. Convert those negative energy into exercise gais. PKP boleh menjejaskan kesihatan mental tau, tu sebab kes bunuh diri makin meningkat. As someone yang ada history ulang-alik klinik pskiatri, aku tak nak sakit lama berulang lagi. Bak kata Elle Woods dalam Legally Blonde: 

I don't have a husband to shoot, but there is one guy in mind. Haha. 

5. Increase immune system

Bersenam dapat meningkatkan sistem immune badan. Memanglah soal sihat dan umur tu rahsia Allah, tapi kita sebagai manusia wajib berusaha. Sekarang musim Covid-19. God knows wabak apa yang akan muncul lagi dalam masa terdekat ni. Marilah jaga kesihatan sendiri. Baru boleh jaga ahli keluarga kita pulak.

So, tu jelah sharing aku untuk menjawab soalan kenapa aku nak bersenam walaupun dah kurus. Harap rutin ni berterusan walaupun lepas tamat PKP. Korang pulak macamana maintain aktif dan sihat sepanjang PKP? Share lah di ruangan komen. Jaga diri OK!
Read More

Memoir Sebuah Kemurungan

Sunday, 22 November 2020

Aku ingat lagi apa rasanya. Berdiri di rooftop Tingkat 26, merenung ke bawah, berkira-kira untuk terjun. Padahal aku manusia yang takut tinggi.

Panggilan masuk dari seorang kawan yang agak rapat. Bertanya kenapa aku tak datang untuk lunch sedangkan sarapan pun aku tak habiskan. Memang sejak akhir-akhir aku kurang selera makan. Badanku yang memang kurus semakin susut.

Aku beritahu kawan aku yang aku ada di bumbung. Fikiran aku serabut. Aku menangis. Beberapa minit kemudian kawan aku sampai. Dia megajak aku duduk. Aku lupa berapa lama aku duduk situ dan menangis. Dia hanya memerhati. Tak berkata walau sepatah. Mungkin dia sudah kehabisan ayat untuk memujuk aku yang sejak akhir-akhir sering menangis ibarat Kasim Selamat kehilangan Sabariah.

Ini bukan sedutan novel atau cerita pendek. Ini cerita aku sendiri. Ya, aku pernah rasa bagaimana keinginan mengakhiri hayat sendiri begitu menebal. Mana-mana orang yang pernah mengalami depression@kemurungan akan mengalami perasaan ini : Rasa diri tak berguna dan menyusahkan. Seolah-olah kalau kita tiada, beban orang tersayang dapat dikurangkan. Soalan yang sering bermain di fikiran:  Untuk apa aku terus hidup?

Namun cerita semua orang tak sama. Sakit si A tak mungkin sama dengan si B walau makan ubat yang sama. Setiap orang diuji dengan ujian berbeza. Kami pun sakit. Cuma sakit kami tak nampak di mata nyata. Ada pesakit mental pandai menyembunyikan, tak sedikit pun kelihatan. Ada juga yang inginkan perhatian; tak dapat banyak, sikit pun cukuplah dari orang tersayang.

Ada orang kata, sakit mental ni punca dari kurang iman. Aku tak salahkan orang yang ada mentaliti macam tu. Aku mengaku aku pernah ada kefahaman yang sama. Hakikatnya punca sakit mental ada pelbagai. Antaranya keturunan, ketidakseimbangan hormon/ bahan kimia dalam otak, suasana pembesaran yang tidak sihat, trauma dan masalah hidup yang kronik seperti hilang punca pendapatan, hutang, penceraian etc.

Lebih setahun aku berteman ubat dan ulang-alik ke klinik psikiatri. Hidup aku tunggang-langgang. Disebabkan tak boleh tumpu perhatian, sering buat silap dan kerap ambil MC/EL, aku telah demoted. Aku hilang kerja yang aku suka. Aku jarang keluar rumah dan jumpa kawan-kawan. Saudara-mara aku hairan kerana aku menyepi. Kalau sekali sekala aku muncul di kenduri, aku tampil lesu dan banyak menjauhkan diri. 

Aku memilih untuk sembunyikan sakit aku dari tempat kerja. Aku tidak mahu sakit aku menjadi sebab kredibiliti aku yang sudah jatuh semakin merudum. Rakan-rakan dan keluarga yang tahu hanya sebilangan kecil. Aku rahsiakan kerana tak nak mereka risaukan aku. Ada kala aku rasa berseorangan tapi aku tahu Allah ada. Dia saja yang beri aku kekuatan bila rasa putus asa tu datang. 

Apa pun aku bersyukur atas ujian yang Allah beri dalam bentuk Mild Depression Disorder+Anxiety. Bersyukur kerana ujian ini seolah teguran kerana aku banyak lalai dan melupakan Dia. Kerana ujian ini aku kembali berpijak di bumi nyata. Aku mula menghargai keluarga dan rakan-rakan yang tak pernah tinggalkan aku. 

Banyak lagi yang ingin aku kisahkan tapi cukuplah setakat ini. Mungkin korang ada soalan atau kecaman, sila tinggalkan di ruang komen.

Terima kasih luangkan masa untuk membaca. Terima kasih juga sebab bila aku cakap aku sering sakit dalam entri-entri sebelum ni, ramai yang mendoakan aku kembali sihat walaupun kalian tak tahu aku sakit apa. 

Till then.. Jumpa next entry! 


Read More

Otak yang mengawal perut

Friday, 10 July 2015

Aku tak pasti masalah ni aku sorang je ke yang alami, ke korang pun sama. Korang yang aku maksudkan adalah para wanita dan gadis di luar sana.

Dah memang orang perempuan ni Allah beri keistimewaan, 'cuti khas' setiap bulan. Tapi bila bulan puasa, cuti khas tu buat ramai yang tak puas hati. Lagi-lagi kalau cuti khas tu datang di hujung-hujung Ramadhan. Acah-acah lah konon kalau dia tak datang bulan nak bangun malam buat tahajud, padahal tak pun. Aku lah tu.

Isu yang aku nak highlight ni adalah tentang daya tahan lapar yang tetiba ghaib. Serius! Selama berpuasa, perut tu OK je, tapi bila tak boleh puasa, mak aih, urat macam ditarik-tarik. Dipintal-pintal. Seharian berkeroncong. Aku lah tu.

Secara saintifik, bila seorang perempuan sedang period, dia kehilangan banyak air dan zat besi dari badan. Tu sebab dia letih dan kekurangan tenaga. So, orang lelaki janganlah kata perempuan tengah period ni tetibe mengada-ngada tak boleh tahan lapar, itu keperluan biologi dia.

Yang pasti, 'puasa' tu ada berkatnya sendiri. Niat dah mengatakan 'Aku berpuasa kerana Allah Ta'ala'. Kau buat sesuatu kalau demi Allah Ta'ala, memang Dia akan bantu kau. Lagi satu, berkat sahur. Aku kalau tak puasa memang tak lah nak bangun sahur. Kalau ada pun, takat kejutkan Mak or Adik, then lena balik. Tak ada nya nak makan kurma ke, nasi lagilah tak. Untuk mengelakkan lapar, aku akan sarapan dulu before keluar gi kerja, but then sebelum kul 12 dah lapar balik. Wah, apakah! Kalau puasa ,boleh je tahan sampai petang walaupun makan sejemput nasi pada pukul 5 pagi.

Perut ni berkait dengan otak. Kalau otak tahu kau boleh makan, dia akan suruh perut mintak makan. Tak percaya cuba korang pergi ke negara yang susah nak cari makanan halal. Aku sendiri masa kat Australia, tahan je makan sehari dua kali. Cuba kalau kat Malaysia, tiap 4 jam mintak diisi! Mengada kan, sebab dia tahu dia boleh.

Macam kau tengok orang miskin yang dah biasa berlapar. Dalam otak dok fikir, cmanelah diorang survive. Hati tu memang kesian, tapi sampai situ jelah. Bila kau sendiri berpuasa, baru faham kesusahan orang lain. Baru tau, selama ni dok mewah dengan makanan. Bila dah lapar, baru otak boleh fikir, hati boleh merasa. Selama ni kita biarkan hati mengawal perut.

Selamat mengejar malam-malam terakhir Ramadhan.


Read More

7 Tips Untuk Kurus

Thursday, 16 April 2015


**Ini entry repost..sebab tak sempat nak taip entry baru**

Orang yang betul-betul kenal aku tak akan tanya soalan ni: Cmane jaga badan? Sebab diorang tau akulah manusia paling malas sekali kalau bab-bab bersenam ni. Setakat senaman mata tengok Tv dan senaman tekak dengan bercakap aku rajin la. Jaga makan? Haroooom! Suruh makan saya makan, tak suruh pun saya makan.

So,apa kelayakan yang aku ada nak bagi tips kuruskan badan ni? Well,ehem,antara pekerjaan awal aku adalah buat part time kat farmasi Vitacare. Lepas grad, aku kerja setahun lebih kat GNC Live Well . Sepanjang aku kerja kat sana,memang banyak training yang aku pergi tentang pemakanan dan diet. Selain tu, untuk menjadi pekerja yang berpengetahuan dan meningkatkan sales aku merajin-rajinkan diri baca majalah-majalah kesihatan dan banyak belajar dari nutritionist bertauliah.

 pix credit

So,kalau korang tak ada masalah kesihatan, tak mengandung, tak on medication dan tak menyusukan baby, bolehla cuba tips-tips kat bawah ni:

1.Detox.
Sebelum korang memulakan apa-apa program kesihatan, bersihkan dulu badan tu dari segala toksik-toksik yang bermaharajalela. Sebab kalau banyak lemak dan kotoran yang berkumpul kat usus, badan memang susah nak menyerap nutrien dari makanan. Bantai la produk apa pun, korang tetap camtu je. Produk untuk detox ni ada berbagai kat pasaran. Ada dalam bentuk teh, fiber ataupun serbuk yang kena bancuh dulu dengan air. Kalau rasa takut nak detox secara besar-besaran, start slowly. Jangan melampau sangat,kang ada yang cirit-birit, or worse dehydrated.

2.Minum banyak air kosong.
Tips ni macam dah basi, tapi memang tulah antara tips terunggul dalam menguruskan badan. Minum air kosong akan buatkan korang rasa kenyang, bagus untuk buah pinggang dan boleh membantu penghadaman. Seelok-eloknya minum segelas air sebaik saja bangun pagi dan setiap kali sebelum makan. Air yang ada kandungan gula yang tinggi akan buatkan selera korang bertambah. So,faham tak kenapa restoran makanan segera include air bergas dalam menu diorang? Nampak tak permainannya di situ??

3.Makan sikit,tapi kerap.
Itu stail aku makan. Berhenti sebelum kenyang. Beri peluang perut korang untuk proses makanan yang korang dah makan. So, korang takdelah terlebih makan. Faham?

4.Gunakan formasi 1/2-1/4-1/4.
Formasi? Ingat ni main bola ke? Ok,bayangkan sekeping pinggan bulat, takpun empat segi. Bahagikan kepada 4. Tak, bukan belah dengan kapak, ada plak kena amuk ngan Mak/Bini/Tokey kedai makan jap gi. Dari 4 bahagian tu, isi 2 bahagian dengan sayur.1 bahagian dengan protein (ayam/ikan/daging/kekacang) dan 1 bahagian lagi dengan karbohidrat (roti/nasi). Huhu, aku tau ramai tak suka makan sayur dan maybe korang akan kecewa sebab nasi dan lauk sikit sangat, tapi itulah tips yang aku pernah belajar.

Image credit : Google Images

5.Cuba 'Meal Replacement' (MR)
Aku bukan nak promote Herbalife ke apa ke,tapi aku rasa MR banyak membantu orang untuk kuruskan badan. Instead of makan nasi, kita minum bancuhan MR ikut cadangan pemakanan yang biasanya orang yang jual tu akan plan untuk kita. MR akan buat kita kenyang sebab ia tinggi serat, tinggi protein dan rendah kalori. Memang susah mula-mula, almaklumlah perut Melayu, mesti nak nasi gak, tapi lama-lama kita akan nampak result. Just be careful,pastikan produk yang korang makan tu ada reputasi yang baik dan disahkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia. Jangan nak kurus punya pasal,main bantai je.

6.Jangan tahan lapar
Ramai yang berdiet suka skip meal. In the end, diorang akan makan lagi banyak dari yang sepatutnya sebab paras gula dalam darah dah jatuh secara drastik. Otak akan hantar signal yang kita ni lapar dan kita makan banyak dalam usaha nak stabilkan balik paras glukos dalam darah. Ambil snek yang kaya dengan fiber macam roti wholemeal, kacang takpun buah kalau tak nak ambil karbohidrat.

7.Jangan makan depan TV atau makan ramai-ramai
Aku bukan suggest korang jadi anti-sosial. Tapi bila makan ramai-ramai, kebarangkalian untuk makan lagi banyak tu ada. So,belajar untuk limit diri sendiri dan berdisiplin. Kalau sekali-sekala takpelah.Kang orang kata kau poyo plak. Lagi satu, kalau makan depan TV kita takkan sedar yang kita ni makan banyak. Macam analogi makan popcorn dalam panggung wayang. Tengok trailer je kadang-kadang popcorn leh habis separuh.

Ada banyak tips lain,tapi aku rasa tips macam bersenam dan jangan makan lewat malam semuanya dah biasa dengar kan?So,apa kata tambah petua-petua aku dah bagi untuk memantapkan badan korang. Ingat, tak semestinya untuk kurus, tapi untuk sihat.

OKlah, kalau korang ada tips menarik lagi, share lah kat sini untuk manfaat bersama. Thanks for reading. xoxo

Tips bonus: Cari gym trainer yang cute macam ni supaya korang lagi bersemangat nak exercise. Hahahaha
Image credit: Google Images
Read More

Bukan entry jual barang - Tips kekal cergas di bulan Ramadhan

Sunday, 29 June 2014

Assalamualaikum semua..puasa tak? Harap-harap semua berpuasa la hendaknya. Lain lah kalau yang dapat 'lesen besar' tu. Tapi aku rasa pembaca blog aku semua baik-baik, tak ada yang kaki ponteng. Betul tak? *Ayat bodek nak komen banyak letewwww*

Infografik : bilangan jam berpuasa bagi negara-negara lain di dunia. Puasa sampai 20 jam? Wow, kita yang 13 jam ni pun dah ramai yang semput. Imej diambil dari Huffington Post
.
OKlah, jimat tenaga sikit, jom terus straight to the point.

1. Sahur tu ada berkatnya walaupun hanya sebiji kurma
Ambil makanan yang mengenyangkan macam roti whole grain, oat, buah-buahan macam pisang dan epal dan minum air secukupnya semasa sahur. Kalau korang ni perut Melayu, tak perlulah pura-pura nak berdiet bagai, makan jelah nasi untuk elakkan kebuluran di siang hari. Tapi kalau korang ni perut mat saleh, bolehla try menu-menu yang dicadangkan oleh website Buzzfeed ni.

2. Jangan minum air berais semasa berbuka
Air berais adalah penyebab ramai antara kita menguap masa solat terawih. Kalau dah haus sangat pun, minum air masak dulu, dah makan sikit baru minum air sejuk. Kalau terus terpa air sejuk, badan dan sistem penghadaman akan terkejut, tu yang rasa lesu memanjang.

3. Solat Terawih
Terawih..polemik masyarakat kita yang tak pernah sudah. Terawih ni maksudnya rehat, so boleh buat rilek-rilek je. 8 rakaat OK..20 pun OK. Sunat muakad dilakukan secara berjemaah, tapi boleh dilakukan sendirian. Mungkin ada anak kecil, jadi si ibu tak dapat nak ke masjid. Kalau nak buat secara berjemaah di rumah pun boleh. Rapatkan silaturrahim sesama ahli keluarga. Kot lah nak test menantu/ adik ipar baru boleh ke tak jadi Imam.
Point sebenar aku, terawih ni dikira macam satu senaman sebab siang kita berpuasa, badan letih, nak beriadah pun malas. Bila kita bergerak banyak lepas makan, takdelah kalori-kalori tu terkumpul jadi lemak. Kalau nak cakap pasal fadilat solat dari sudut Sains, memang banyak, korang boleh google atau tanya doktor bertauliah.
Yang penting, terawih ni ada dalam bulan Ramdhan SAHAJA. Dapat pahala lak tu. Tak nak ke bai...

4. Hindarkan dari berfikiran negatif
Dah bunyi cam Prof. Muhaya lak aku *perasan*
Elakkan dari dok ulang-ulang ayat "Ngantuknya ... letihnya" .Kalau ada kawan korang dok ulang ayat tu, jangan layan dia. Iye, memang ngantuk tu tak boleh disorok. Tapi tidur di tempat kerja adalah sangat tidak digalakkan kerana ia akan memberi imej buruk di mata bos korang di samping gaji tak berkat! Kalau dah tak tahan sangat, tidurlah sekejap di waktu rehat. Ingat bos korang tak tahu ke korang ngantuk sebab tengok bola malam tadi?

5.Jangan minum minuman berkafein sewaktu sahur
Minuman berkafein memang buat kita alert, tapi kafein akan meningkatkan kadar metabolisme dan membuatkan kita lagi lapar. Lagipun, kafein merupakan sejenis diuretik, maknanya, ia boleh meningkatkan kadar pembuangan air dari badan. Tu yang badan letih sebab dahlah takde air masuk, banyak pulak yang keluar. Kak Sal kau ni student Fizik tapi sembang cam budak Medic kan? Hehe, nantilah kalau ada masa aku cerita pasal tu.

Gambar hiasan from Huffington Post .

Pesanan penaja:  Apa-apa pun, jangan pernah lupa mereka yang tak bernasib baik. Banyakkan bersedekah dan doa untuk saudara seagama kita di serata dunia. Moga Allah melindungi mereka.

Kalau korang ada petua lain, jemput share kat sini untuk panduan semua ye..
Read More

Review : Gel gamat Luxor

Wednesday, 28 May 2014

Hari ni aku nak cerita tentang gel gamat. Well, semua orang dah tahu pasal khasiat gamat ni dari zaman dahulu kala lagi terutama orang Melayu.  Tiap-tiap rumah at least ada sebotol minyak gamat. Tapi aku rasa selain dari minyak, gel gamat ni pun kena ada.  Pilihan aku brand Luxor ni.


Hari tu jari aku melecur kena periuk panas. Mula2 nampak cam dah nak elok tapi emang dasar tak reti dok diam, dah tersagat, kulit koyak dan kena infection. Sakit berdenyut-denyut .

Dipendekkan cerita...lepas sapu krim doktor bagi dan makan antibiotik, luka tu jadi kudis hitam yang besar dan huduh. Obvious kot sebab jari manis tangan kanan wei..jari sarung cincin tunang nanti. Huhuhuhu. .menggelupur aku cari penawar. Then aku teringat abang aku pernah accident dulu ,sapu losyen ni supaya luka cepat sembuh dan tak berparut. Aku pun carila kat kedai jamu. Alhamdulillah ada.

Kelebihan gel berbanding minyak adalah ia tak berbau dan tak meleleh. Takdela risau satu pejabat bau gamat! Yang penting kenala rajin sapu.

2, 3 hari kemudian kudis hitam tu pun tertanggal tapi aku still sapu kat bekas luka supaya tak berparut. Hasilnya, lapisan kulit baru dah start terbentuk. Dengan izin Allah, memang mujarab gel ni. Kalau tak, takkan beria aku promote secara percuma!

Bagus untuk jerawat gak! Tak kisah la jerawat remaja atau si kertu.

OKlah. .I olls nak gerak gi Mersing ni ada wedding.  Doakan urusan kitorang berjalan lancar ye. Kalau ada apa2 yang best nanti aku story mory kat sini.

Till then...Assalamualaikum
Read More