Dah lebih setahun baru muncul balik

Sunday, 23 March 2025

Assalamualaikum semua! Allahu rindunya merepek kat sini. Rindu jugak baca coretan kawan-kawan blogger. Terima kasih lah buat semua yang sudi bertanya khabar sama ada melalui komen, email ataupun wasap. Ada yang tanya...sibuk sangat ke lepas kahwin? Ish, takde maknanya sibuk. Cuma, entahlah tak ada apa yang terlalu menarik untuk dikongsi. Life mundane macam biasa. Masih buat kerja bosan yang sama. Ada beberapa kali pergi interview, tapi gagal. Loser bukan? Pergi bercuti pun ada, tapi hanya di dalam Malaysia. Tempat pun rasanya korang dah pernah pergi. Jadi takde apa yang menarik. Lagipun orang kata, bahagia jangan ditunjuk sangat..Tak gitu?

Anyway...sekarang maybe tak sibuk, tapi lepas ni akan sibuk. Sebab apa? I'm pregnant! At the age of FORTY! Actually lagi 2 minggu nak masuk umur 40, tapi sebab baru 10 weeks, so most of it masa umur 40 lah kan?

How is it? Penat, babe. Umur dah 40 ni, tak buat apa pun penat. Hahaha. Ni kan pulak mengandung. Especially first pregnancy. No wonder lah bila aku dok usik kawan2 yang umur 35 ke atas supaya tambah anak diorang semua geleng kepala. Barulah aku faham bila melaluinya sendiri.

Aku ni sebenarnya orang yang tak berapa suka share pasal life sendiri, tapi dekat blog ni feel dia lain. Aku menulis sekadar berkonsi pengalaman. Moga-moga bila anak aku besar nanti dia akan baca pengalaman Mak dia. Jangan dia kata mak dia ni ketinggalan zaman dahla. "Come on Mak, tahun 2025 orang share video kat Tik Tok la". Well, guess what kid, mak kamu memang jiwa ol' skool! Hahaha.

Eh banyaknya aku merepek sampai lupa nak ucap Selamat Berpuasa dan selamat beribadah, lagi-lagi di hujung Ramadan ni. Sadly aku belum dapat terawih berjemaah di masjid/ surau lagi tahun ni. Tiap-tiap malam di rumah sahaja. Macam tak hidup jiwa Ramadan aku tahun ni. So sad.

OKlah, since aku excited nak share pengalaman aku, aku decide untuk buat series of entries. Ha...cam entry travel gitu. So jangan terkejut kalau nampak entry backdated ya. Acah-acah tulis live. Padahal baru dapat ilham.

See you next entry gais!

p/s: If rasa certain entry cam overshare, sila tegur. Video clip lagu raya pun boleh edit, apa sangatlah entry blog...


Read More

Pregnant at 40 - Pengalaman minum air gula

Thursday, 20 March 2025

PertengahanMac 2025

2 minggu lepas appointment yang pertama, nurse suruh aku datang untuk scan lagi. Scan kali ni agak merisaukan sebab tak detect heartbeat baby. Aku pun start risau. Yelah, aku banyak baca pasal kandungan 'tak jadi'. Doktor cakap kandungan aku tak berubah macam masa dia scan aku untuk 7 weeks. Doktor cakap patutnya dah dapat detect heartbeat lepas 9 minggu. Again, aku dilanda anxiety. 

Doktor suruh aku datang balik minggu depannya untuk repeat scan dan minum air gula. Tak lena tidur aku dibuatnya. Satu sebab mengenangkan result scan yang tak 'cantik' dan kedua sebab dah biasa dengar cerita-cerita tak best ibu-ibu yang terdahulu. Rata-rata wanita mengandung memang tak gemar la prosedur ni.

Walaupun kandungan aku masih di trimester pertama, nurse dah suruh aku minum air gula.  Sebelum pergi tu aku dah study sikit-sikit dekat internet. Majoriti bagi tips supaya tak muntah. Tujuan minum air gula ini adalah untuk mengetahui ibu mengandung ada masalah diabetis atau tidak.

Malam sebelumnya aku dah diminta berpuasa seawal pukul 10 malam. Orang lain puasa siang, kau puasa malam ye. Layan jelah. Pagi-pagi sebelum jam 7.30 pagi aku dah terpacak di klinik. Mula-mula nurse akan ambil darah sebelum minum air gula dan kemudian air gula pun dihidangkan dalam cawan polisterin saiz sederhana besar. Air tu takde warna dan takde bau, cuma rasa manis semata. Aku pun follow tips yang aku baca, minum cepat-cepat sementara masih suam sebab kalau lambat, air bertambah likat dan susah nak telan. Alhamdulillah aku berjaya minum tanpa muntah.

Credit: Google Image

Once dah minum air gula ni tak boleh makan dan minum apa-apa dalam tempoh 2 jam. Digalakkan berehat, tapi dah namanya klinik kerajaan, mana ada port nak rehat. Suami aku pulak lepas hantar aku, aku suruh dia balik sebab aku tahu kali ni makan masa lama.

Settle minum, aku diminta buat urine test pulak. Adoi macam-macam. Lepas tu pergi jumpa doktor untuk scan. Alhamdulillah kali ni dapat detect heartbeat baby. Bergurau pulak baby ni.

Masa dok dengar doktor tu cakap, sekali aku rasa macam nak muntah. Ha apalagi, tak sempat berlari ke sinki, atas lantai klinik tu jugak aku muntahkan air gula yang aku minum tadi. Alahai, padahal tinggal lagi setengah jam je untuk aku bertahan. Prosedur minum air gula ni, kalau dah termuntah, terus tak valid dan kena repeat lagi.

Aku muntah maybe sebab aku masih di fasa loya dan mual-mual. Tambahan pulak perut kosong dan aku pening sebab kena gi urine test la, ultrasound la. Settle set tarikh lain untuk minum air gula, aku terus call suami aku suruh ambil. Masa perjalanan balik tu aku menangis padahal bukan kena marah pun. Hahaha. Saja leteww nak memancing simpati suami.

2 hari kemudian, terpacak lagi aku kat klinik yang sama untuk ulang prosedur yang sama. Kali ni aku mintak suami aku tunggu. Lepas minum aku ajak dia balik. Aku balik rumah, rest sampai dah nak dekat tempoh 2 jam aku ajak suami aku pergi klinik lagi sekali.

Alhamdulillah kali ni tak muntah. Aku pun cepat-cepat mintak nurse ambil darah lagi sekali. Lepas ambil darah aku pun dibenarkan balik. Yay!!! Tapi tak boleh happy sangat. Kena tunggu jugak result macamana. Harap takdelah masalah kencing manis. Risau gila wei. Tak semestinya kalau kita selama ni takde diabetes kita selamat tau. Ada kes orang kena diabetes hanya semasa mengandung.

Begitulah pengalaman aku ulang-alik ke klinik sampai 3 kali dalam bulan puasa. Setiap kali tulah aku work from home je. Korang pulak cmane? Berapa kali kena repeat? Ke lulus dengan jayanya masa kali pertama minum air gula. Sharelah dengan aku di ruangan komen.


Read More

Pregnant at 40 - Dan...alahan pun bermula

Wednesday, 12 March 2025

 Awal Mac 2025

Entahlah benda ni psikologi atau kebetulan, tapi once dah tahu kita pregnant, automatic alahan tu start. Padahal 7 minggu pertama tak ada apa pun.

Aku pun start google makanan/minuman yang perlu dielakkan wanita mengandung. Korang tahu apa yang paling aku frust kena give up? COFFEE!!!! Aku perlukan kopi setiap hari untuk berfungsi! Tapi apakan daya, demi baby aku terpaksa cut down coffee. Letihnya Tuhan sahaja yang tahu. Caffeine withdrawal is real!

Awal Mac juga seiring dengan permulaan Ramadan. Aku cuba untuk berpuasa. Niat, bangun sahur dan tahan lapar dahaga. Itu pun menjelang pukul 12 aku dah start kebuluran. Risaukan keselamatan baby, aku pun 'berbuka' awal dari waktunya. Leceh juga nak curi-curi makan di opis. Sebab malas ada yang tanya kenapa nampak aku solat, tapi tak puasa. Terpaksalah bocor rahsia dekat a few member keliling meja opis sebab tak reti nak menipu cmane. Awal-awal pregnancy memang tak nak beritahu orang. Sifat aku sendiri agaknya, aku agak private dan tak gemar menjawab soalan. Lagipun pernah jugak dengar orang tua pesan kalau boleh rahsiakan sampai masuk bulan ke-3.

Bercakap pasal alahan...Aku dah mula muntah-muntah bila terbau makanan. Apatah lagi bau orang masak. Dapur di rumah terpaksa dihentikan operasi. Hahaha. Suami aku hanya masak bila aku takde. Sebulan puasa makanan sahur dan berbuka semua beli di bazar. Baru aku faham apa yang orang selalu cerita. Bau suami sendiri pun aku rasa busuk.

Di umur begini mengandung memang penat. Aku terpaksa drive hari-hari ke tempat kerja. Tak larat berdiri lama-lama dalam MRT. Perut belum nampak, mana ada orang nak bagi seat. Tambahan pulak dengan selera makan yang menyusut. Aku tak tahan bau nasi dan lauk pauk berasaskan ikan dan seafood. Aku hanya makan mi, roti, kuey tiow dan bihun. Sekali-sekala craving pasta. 

Alahan aku nak kategorikan teruk mungkin takdelah sampai tahap kena masuk air kat hospital. Tapi selalu jugaklah makan berteman besen dekat sebeleh sebab masuk sesuap je muntah.

Ramadan tahun 2025 boleh dikatakan Ramadan paling aku tak perform. Puasa tidak, terawih pun buat kat rumah je. Sedih tu memang sedih tapi dah badan tak larat nak buat cmane. Ada juga aku M/c sehari dua. Aku cakap awal-awal dengan bos aku yang aku pregnant. Nasib baik dia faham.

Aku ingatkan bulan puasa tak payah datang appointment di KK dah tapi doktor suruh aku datang untuk scan baby 9 weeks untuk dengar heartbeat baby. So nanti aku update lepas buat scan ok. Dengar ke tidak degupan jantung. Haih ni pun buat aku nervous gak

Korang dulu pregnant cmane? Alahan teruk tak? Share la pengalaman korang, nak jugak baca


Read More

Pregnant at 40 - Buka buku pink di klinik kerajaan

Friday, 28 February 2025

 Hujung Februari 2005

Seperti yang aku ceritakan dalam entry lepas, aku dan suami dah plan nak pergi Sunway Lagoon sebelum bulan puasa sebab dapat tiket free. Disebabkan aku dah sah pregnant, kami cancel plan tapi kita isi masa cuti dengan buat benda lain. Ada member aku cakap, 7 minggu terlalu awal untuk bukak buku tapi aku malas nak pergi buat time bulan puasa nanti. Lagipun tak nak membazir cuti.

Pagi-pagi aku dah pergi Klinik Kesihatan Cheras. Dengan yakin aku walk-in dan cakap nak bukak buku pink dekat nurse di kaunter tu. Nurse tu pun tanya alamat rumah. Disebabkan I/C aku alamat rumah mak aku, so aku bawak siap-siap bil elektrik sebagai bukti aku duduk situ. Sekali nurse tu cakap alamat rumah aku kena pergi klinik lain. Ha tulah, yakin sangat. Tak buat research pun. Aku ingatkan KK Cheras tu habis dekat dah dengan rumah aku rupanya ada yang lagi dekat.

Kitorang pun pergi ke Klinik Kesihatan Kampung Pandan atas nasihat nurse di KK Cheras. Nasib baik tak jauh sangat.

Sampai sana tengok ramainya orang. Bukan ibu mengandung sahaja, bayi dan kanak-kanak pun ada. Sekali lagi dengan yakinnya pergi ke kaunter dan bagitahu nak bukak buku pink. Staf di kaunter tanya aku ada buat appointment ke?

Ah sudah, aku auto panik la. Staf tu cakap kena buat appointment dan datang balik. Alahai malasnya nak datang balik. Aku pun tanyalah dia, tak ada cara ke nak buat hari tu jugak? Dia pun suruh aku masuk bilik nurse. Aku pun dengan blur masuklah bilik yang ada ramai nurse dengan patient dalam tu. Nasib baik ada sorang nurse tu tegur aku dan tanya aku nak jumpa siapa.

Awalnya dia pun cakap ayat yang sama. Kena buat appointment. Lepas tu dia tanya, aku ada apa-apa masalah kesihatan ke? Aku cakap jujurlah, aku sihat takde sakit kronik, tapi umur aku dah 39 tahun. Dengar je umur aku, terus dia suruh aku duduk dan daftarkan nama. Faktor usia agaknya dan Allah nak permudahkan urusan. Aku dapat buat buku pink pagi tu jugak. Yay!

Checklist buat buku pink:

- I/C diri sendiri dan suami

- Surat nikah

- Bil eletrik/ air (kalua alamat rumah tak sama dengan di I/C)

- surat doctor kalau ada masalah kesihatan

- result scan ultrasound (kalau ada)

- Encik suami

Ha...kenapa kena bawak suami sekali? Sebabnya di KK aku pergi ni diorang terus buat HIV dan STD test on the spot.

Bukak buku pink ni makan masa jugaklah sebab nurse akan timbang berat dan ukur tinggi. Diorang jugak akan interview secara detail keadaan kesihatan si Ibu. Better buat appointment dulu. Jangan ulang silap aku. Umur aku ni di klinik ibu mengandung dikira 'warga emas'. Sebab tu dapat keistimewaan. Hahaha.

OK lahtu je nak cerita. Terima kasih yang la sudi membaca. Buat pejuang TTC (trying to conceive), semoga ada rezeki dari Allah nanti. Jangan anggap umur sebagai penghalang. Aku sendiri tak pernah jangka akan hamil di ambang umur 4 series. 

Cuma itulah mengandung di usia 40-an tak semudah orang umur 20-an. Di entry seterusnya akan aku ceritakan. Buat memori sendiri. Dan untuk si comel dalam perut ni kalau dia terbaca bila dah besar nanti.

Read More

Pregnant at 40 - Klinik Scan Baby Murah di Ampang

Tuesday, 25 February 2025

Februari 2025

Pertengahan Februari - Atas nasihat adik aku yang kerja hospital, aku buat test lagi sekali. Kali ni beli test kit baru. Result kali ni buat aku tepuk dahi. Eh dapat positif pulak. Pening kepala aku. Dekat klinik dapat result berbeza.

Aku pun memandai buat kesimpulan sendiri. MAYBE sebab test yang aku buat di rumah, aku buat waktu pagi. Berdasarkan bacaan aku melalui internet, ujian kehamilan ni lebih accurate kalau buat dengan air kencing pertama sebaik bangun tidur. Berbeza sewaktu aku ke klinik di waktu malam. Dahla lepas makan minum macam-macam. MAYBE sebab tu result berbeza.

Begitupun aku tetap tak puas hati. Aku nakkan kepastian dan pendapat kedua dari doktor lain. So aku pun survey lah nak cari klinik swasta yang boleh buat ultrasound awal kehamilan. Puas hati scan terus. Kalau ada fibroid ke apa ke boleh terus detect. Aku nak betul-betul conform aku pregnant ke tidak sebab aku dan suami dapat 2 tiket free pergi Sunway Lagoon! Kalau mengandung tak bolehla pergi. Pergi theme park sah-sahla kau terlambung sini-sana.

Survey punya survey, aku jumpa satu klinik di Ampang. Poliklinik Az-Zaara namanya. Memang banyak good review dan ada pakar sakit puan. Yelah, aku pun confuse aku pregnant ke tidak, jadi lebih baik aku buat ultrasound terus. 

Masa pergi klinik tu aku tak berharap sangat. Ada rezeki adalah, aku cuma berharap takde masalah kesihatan lain seperti menopause awal atau fibroid. 

Sumber: FB

Untuk buat ultrasound, walaupun boleh walk-in tapi aku tetap buat appointment. Aku sampai awal 5 minit dari waktu appointment, nurse bagi nombor dan aku diminta minum air sampai rasa nak terkencing. Kena tahan lah, jangan gi toilet plak.

Sampai turn aku, aku pun masuk ke ruang ultrasound. Suami boleh ikut sekali, sebab bilik dia luas. Aku tak ambil gambar pulak. Maafkan. 

Sonographer dia perempuan, so janganlah risau. Scan punya scan, nampaklah satu kantung kecil dalam rahim. Nampak kosong . Aku cam biasalah, panik kan. Sebab selalu tengok dalam TV, scan je nampak rupa baby. Hahaha. Rupanya awal-awal ni memang nampak tompok kecik je. Doktor pun tanya tarikh last aku period untuk detect umur kandungan.

Alhamdulillah, aku dah 6 minggu pregnant. Masa tu perasaan bercampur-baur. Sebab anak tak termasuk pun dalam perancangan aku dan suami. Kitorang dah pasrah je kalau menua berdua together. Rasa macam plan 'lari' sekejap. Nampaknya kena hold dulu perancangan kitorang.

Bayaran? Masa aku pergi ni ada promo tau, RM30 je. Siap dapat 2D print lagi! Korang nak tau latest promo dan nak book appointment, boleh klink link FB yang aku share OK.

Rasa bersyukur gak lah walaupun aku melasak, makan macam-macam dan pakai heels pergi wedding, kandungan aku survive. Alahan takde langsung. Semoga kuat ye nak. Lasak macam mak awak. Hahaha.

Once dah confirm pregnant, next step kenalah buat 'buku pink'. So...marilah kita. Nanti next step aku cerita lah pengalaman aku buat buku keramat tersebut. Yelah, walaupun most reader blog aku ni dah 'khatam' buku keramat tu berkali-kali, aku tetap nak cerita jugak! Buat kenangan sendiri untuk aku dan anak dalam perut ni.

Read More

Pregnant at 40 - Aku menangis bila doktor kata aku dah tunjuk simptom pre-menopause

Sunday, 16 February 2025

Februari 2025 

Awal Februari, aku perasan period aku lambat. So, aku buat UPT ( Home pregnancy test). Nampak 2 garis menandakan positive for pregnancy. Alhamdulillah. Terus call suami tapi sebab dia keje malam, tak dapatlah nak gi buat check up. Malam esoknya balik keje baru pergi klinik swasta dekat dengan rumah. Doktor suggest buat urine test lagi sekali so aku pun buatlah. Sekali doktor kata result aku negatif.

Aku pun macam eh... apahal plak negatif? Jenuh aku bergaduh dengan doktor tu, siap cakap period aku tak datang dan aku buat test kat rumah dapat result positif. Doktor tu dengan selamba cakap tu tanda-tanda awal pre-menopause. Aku cakap mustahil, aku baru 39 tahun! Dia cakap, ada orang menopause awal. Masa tu rasa macam gelap dunia. Bukan aku frust sebab tak pregnant, tapi frust kalau aku 'tua' sebelum waktunya. Aku pasrah jelah doktor dah cakap gitu. Maybe sebab kit test yang aku guna tu dah 'masuk angin'. Dah beberapa bulan aku beli sampai aku lupa kewujudan dia.

On the way balik rumah tu aku menangis. Suami aku, En.I cuba tenangkan aku dengan bawak aku jalan-jalan pusing KL. Terharu bila En.I kata dia tak kisah pun ada rezeki anak ke tidak. Dia redha. Wah, lagilah air mata aku turun sederas Air Terjun Niagara ok!

Pertengahan Februari - Aku dah berdamai dengan takdir. Tak apalah, kalau dah bahagian aku. Aku pun menjalankan hidup seperti biasa. Sabtu aku gi jalan-jalan kat Taman Tugu dengan BFF aku, ND. Balik singgah makan, aku dengan bahagianya order Mi Rebus dan kopi susu ais kaw! Memang kaw, sampai sekarang terbayang lagi rasa kopi kat restoran dekat Ampang tu.

Esoknya aku ikut mak aku gi kenduri pulak. En.I keje, tak dapat ikut. Aku pun cerita kat famili aku. Cuma part aku nangis tu tak cerita leeeer. Malu. Hahaha. Famili aku suggest buat test lagi sekali. Mana tau doktor tu silap. Hurmmmm...betul jugak kan? 

Balik tu aku buat test lagi. Kali ni beli test kit baru. Result kali ni buat aku tepuk dahi. Nak tahu apa resultnya? Nantikan next entry ok. Thanks for reading!

Read More

Ramadan ke 11 baru muncul entry ini

Friday, 22 March 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Haih, begitu lama tak update blog. Sebelum nampak anak bulan Ramadan sampai masuk fasa ke-2. Hahaha. Apakan daya, sis busy.

Ramadan Day 1 - bersahur dan berbuka seorang diri. Ikutkan boleh saja berpuasa di rumah mak aku yang hanya 20 minit perjalanan dari rumah, tapi itulah aku lagi suka stay rumah suami sebab dekat dengan MRT. Bulan puasa ni bos aku beri kelonggaran balik pukul 4 petang, tapi kena masuk pukul 8 pagi. Bos aku juga bermurah hati bagi work from home 2 kali seminggu. Beli juadah di bazaar saja. Nasi lemak ayam berempah. Nasi dan ayam sedap, sambal saja yang mengecewakan. Terawih di rumah sebab badan lemau. Aircond opis sejuk! Ke sejuk sebab tak makan? Wallahu'alam.

Ramadan Day 2 - last day PJJ! Patutnya encik suami sampai dalam pukul 4 petang, tapi sebab gerak lambat dari Dungun, pukul 6 lebih baru sampai di pejabat. Mintak tolong adik ipar pergi ambil. Nak masak, baru perasan barang dapur banyak dah habis. Goreng bihun favourite En.I. Aku beli murtabak, air tebu dan agar-agar di bazaar. Kecewa lagi sebab agar-agar pulak tak sedap kali ni. Anak-anak adik ipar makan sikit je letak balik. Terawih di rumah lagi sebab En.I kepenatan. 

Ramadan Day 3 - Aku masak telur masin masak lemak cili padi untuk sahur. WFH. Cuaca panas sungguh. Sakan aku mendobi. Sebab dah penat mendobi dan mengemas barang En.I balik dari kursus, kita berbuka kat luar. Malamnya En.I je gi terawih. Aku terawih di rumah sendirian.

Restoran Kudu, Chow Kit. Ada orang tu teringin nasi kandar dari kat Pulapol lagi

Ramadan Day 4 - Adeh, nampak 'anak bulan'. Baru nak panas enjin berpuasa. Balik kerja, goreng bihun je untuk En.I. Alhamdulillah suami aku ni jenis simple je bab makan.

Ramadan Day 5 - Keluar gi Aeon top up barang dapur. Kawan En.I bagi lauk daging salai masak lemak untuk berbuka. Yay tak payah masak.

Ramadan Day 6 - Berbuka rumah mak dengan adik-beradik aku yang lain. Abang-abang aku je tak dapat datang. Anak-anak saudara excited jumpa Pak Tam diorang setelah sekian lama. Solat maghrib, Isyak dan terawih berjemaah di rumah. Sayangnya aku cuti solat. Rindu nak jemaah ramai-ramai dengan famili. Plot twist : Sorang pun tak ingat nak amik gambar. 

Demi nak bagi entry cantik, aku letak jugak gambar lama. LOL

Ramadan Day 7 - MC sebab tak sedap badan. Mana badan tak lemau. Opis sejuk macam di kutub, di rumah panas macam kat gurun. Nasib baik ada lebihan lauk dari berbuka rumah mak yang aku simpan dalam fridge. Aku bekalkan untuk En.I berbuka di tempat kerja sebab dia shift malam. 

Ramadan Day 8 - WFH, so masak Udang Salted Egg untuk En.I. Alhamdulillah En.I kata sedap. Berani dia kata tak sedap. Hahaha

Ramadan Day 9 - Tak sempat masak untuk En.I tapi ada sumbangan makanan berbuka di opis. Alhamdulillah, rezeki.

Ramadan Day 10 - Kembali berpuasa. Yay! WFH, jadi dapat masak ayam masak kicap extra halia untuk En.I bawak bekal berbuka. Sekali En.I buat surprise belikan lasagna dari Zus. Suami aku ni kadang-kadang tak boleh dijangka. Kau ada, berbuka lasagna! Lauk ayam masak kicap simpan sahur. Malamnya pergi terawih di surau flat. Lain betul vibenya berbanding surau dan masjid kawasan perumahan rumah parents. Rindu pulak.

Entahlah korang baca tidak, tapi tak kisahlah. Aku tulis sini sebagai memori sendiri. Kenangan pertama kali berpuasa sebagai isteri. Penat, tapi seronok. Adakala menguji kesabaran. Zaman aku bujang dulu, bertahun-tahun berbuka di surau sahaja sebab mak abah aktif sebagai AJK. Boleh dikira dengan jari berapa kali masak.

OKlah, selamat berpuasa semua! Terima kasih kepada blogger yang selalu share menu. Dapat jugak idea nak masak apa. Apa pun, sama-samalah kita berusaha mengelak pembaziran makanan di bulan Ramadan. 

Ingat pepatah ni.. Tak pandai masak takpe, asal jangan berniaga di bazaar Ramadan..

Read More

Lagu 'Hasrat' Amir Jahari mengimbau memori menonton Imaginur

Monday, 4 March 2024

 Janji dengan I...

Janji Apa?

Ingat I...


First of all, tahniah Amir Jahari atas kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke 38 menerusi lagu 'Hasrat'. Layak ke tak layak ke, siapalah aku yang tiup rekoder pun sumbang ni untuk memberi pendapat. Lagipun, dari 12 lagu yang bertanding, aku cuma cam lagu Hasrat dan Santai. Terjerit kecil aku depan TV masa nampak cameo Beto Kusyairi dan Diana Danielle sewaktu persembahan Amir Jahari. Persembahan yang rileks dan simple tanpa perlu vokal menjerit.

Kali pertama aku dengar lagu 'Hasrat' adalah sewaktu menonton filem 'Imaginur' tahun lepas. Hasrat merupakan lagu tema filem tersebut. Aku menonton Imaginur di wayang bersama best friend aku ND.

Tarikan utama kitorang nak tengok Imaginur of course lah sebab Beto Kusyairi yang memegang watak Zuhal. Watak Zuhal sering melihat Nur, (lakonan Diana Danielle) dalam mimpi yang berulang-ulang.

Pada suatu hari Zuhal terlihat gadis yang mirip Nur dan cuba menghampiri gadis tersebut. Malangnya Zuhal terlibat dalam kemalangan. Apabila Zuhal sedar, dia berada di hospital bersama bapanya (Meor Hashim Manap) yang menghidap Alzheimer. Di hospital, Zuhal bertemu seorang wanita (Fatimah Abu Bakar) yang mencadangkan Zuhal bertemu pakar hipnosis, Dr.Ramli (Afdlin Shaukie) untuk mengubati masalahnya.

Imaginur pada pandangan aku adalah sebuah filem yang perlu ditonton secara khusyuk, babak demi babak untuk faham sebab plot filem ni tak mengikut kronologi. Seperti Zuhal yang confuse yang mana realiti, yang mana mimpi, begitulah aku sebagai penonton. Karakter Dr.Ramli yang nampak macam 'doktor gila' buat aku terhibur dan jadikan movie ni light sedikit. Kalau tak, macam psikothriller berat pulak.

Memori kita ni funky. Ada yang real, ada yang macam real. Selalunya kita yang buat dia real.

Filem bertema romantik+sains fiksyen arahan Nik Amir Mustapha (KIL, Terbaik Dari Langit) bergerak pada pace yang tak berapa laju, tak berapa perlahan. Suka tengok chemistry Beto-DD. Senang cerita, filem ni very typical Nik Amir. Siapa yang suka filem yang 'pening kepala', ada flashback, dejavu dan plot twist conform akan terhibur menonton Imaginur.

Filem ni tak silap aku tinggi juga kutipannya. Mungkin populariti Beto Kusyairi dan filem yang tak cliche membuatkan ia mendapat sambutan. Aku harap akan masuk Netflix atau tayang time raya sebab ada beberapa persoalan yang tak terjawab. Maybe tengok kali kedua akan lebih faham.

Teriaklah

Sekuat mana pun aku

Suara ini tiada mendengar

Teriaklah

Berhenti berharap

Teruskan hidupmu

Ku ingin pulang


Read More

Hello March, Goodbye February!

Friday, 1 March 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Happy (belated) leap day 2024! Cadangnya nak publish entry ni 29 Februari tapi sibuk yang entah apa-apa. Teringat zaman budak-budak dulu, excited bila tahun lompat padahal rutin seperti biasa. Dah dewasa ni makin cynical, susah nak teruja dengan benda-benda kecil. Semuanya meh..been there done that padahal pengalaman hidup takdelah banyak mana pun. Sembang je lebih.

Cuti sekolah ni bawaklah anak-anak sedara aku jalan. Kang kata Mak Tam dah kahwin, tak ingat kat diorang dah. Drama tau masing-masing

Bulan Februari walaupun pendek tapi sibuk. Sejak berkahwin, komitmen dah bertambah kepada dua keluarga. Kalau dulu, hanya sibukkan mak ayah sendiri, sekarang kena sibuk mak ayah mertua dan ipar duai jugak. Bukan sibuk hal tepi kain ye, tapi biasalah adat berkeluarga.

Masa belum kahwin dulu, selain dari takut dapat suami yang tak baik, dapat keluarga mertua dari neraka pun seram jugak. Alhamdulillah aku dapat in laws yang sangat baik yang boleh terima aku seadanya. 

Selagi tak masuk bulan puasa, selagi itulah ada kenduri kahwin. Asal pergi je kena tanya " Suami mana?".

Aku agak overwhelmed menanti ketibaan Mac. En.I akan tamat kursus pertengahan bulan nanti. Selain itu, ini kali pertama berpuasa sebagai seorang isteri. Harap boleh tunaikan tanggungjawab dengan baik. Harap takde kes terlepas sahur. Hahaha.

Event makan-makan kat tempat kerja. Walaupun tak suka kerja aku, tapi colleagues aku baik-baik so bolehlah tahan duduk sini. Nak cari kerja lain, susah dapat.

Hopefully Mac baik-baik sahaja. Semoga kenaikan SST dari 6% ke 8% tak menyumbang kepada kenaikan harga barangan walaupun bunyinya seperti angan-angan mat jenin.

Aku juga mahu berhenti angan-angan mat jenin untuk update entry sehari sekali. Bulan Februari entry lagi sikit dari Januari. Bahan ada, tapi mood selalu ke laut. Puncanya, seminggu aku tak dengar khabar berita dari En.I. Aku pulak tak boleh contact dia sebab handphone para pelatih dipegang pihak atasan. Aku belajar erti berharap sepenuhnya pada Allah. Sehabis tawakal agar Tuhan jagakan dia.

Cmanelah korang yang suami kerja anggota, offshore atau PJJ berbulan, bahkan bertahun. Dengan anak berderet, uruskan segalanya sendirian. Korang memang hebat. Aku ni setakat berjauhan 2 bulan, bil internet pun lupa bayar. Adeh.


Pantai-pantai di Dungun memang cantik, tapi tengoklah ombak bergulung, memang tak sesuai untuk mandi

Highlight of last month, my trip to Dungun melawat En.I. Ada juga yang ingat aku ke sana, boleh bawak dia outing. Hakikatnya hanya jumpa dalam perkarangan PULAPOL. Tu pun datang tengahari, petang dah balik. Balik dari melawat dia tu aku singgah la pantai-pantai di Dungun. Takde pulak jumpa penyu di Rantau Abang. Penyu naik darat malam-malam je kot.



Pergi je naik flight, balik nak jimat aku naik bas ekspres. Jimat tak jimatlah, saja nak try AliBaba Express. Harga tiket RM50. Agak pricey.

Naik bas AliBaba ni kononnya sebab ada toilet, kemudahan microwave dan water heater. Penyudahnya pergi toilet dan makan semua di R&R sahaja. 

Semoga urusan kita semua dipermudahkan untuk bulan Mac ni. Selamat berpuasa! (in advance).Thanks for reading!
Read More

Stadium Wembley jadi saksi - Liverpool FC Carabao Cup Final Winner

Monday, 26 February 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Hambar betul tajuk entry. Dah lama tak menulis pasal bola sepak so tak tahu nak letak tajuk apa. Sejak sibuk dengan persiapan perkahwinan sampailah sekarang dah jarang sangat tengok game Liverpool FC. Lagipun takde geng. Kalau dulu selalu tengok dengan Abah, tapi suamiku En.I tak minat bola. 

Orang selalu predict aku akan kahwin dengan lelaki yang kaki bola tapi hakikatnya aku tak pernah ada boyfriend yang sama minat tengok bola sepak macam aku. Maybe sebab bila tengok bola, perangai 'jantan' aku keluar, so diorang terus tak selera. Kah kah. 

Anyway, game kali ni aku dapat tengok sebab start awal (11 malam). Kalau match pukul 3, 4 pagi mungkin liat aku nak bangun. Aku tengok pun di handphone sahaja. Sementara aku dan En.I masih ber PJJ ni bolehlah tonton tanpa gangguan.

Sebelum game start aku tak letak harapan tinggi memandangkan Liverpool FC dilanda masalah kecederaan beberapa tonggak utama iaitu Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Trent Alexander-Arnold. Begitupun, di bawah pimpinan Kapten Virgil Van Djik dan semangat game League Cup terakhir Jurgen Klopp sebelum kontrak tamat (menaip tentangnya saja buat aku nak nangis), Liverpool FC bermain dengan agak baik.

Ia boleh dikatakan perlawanan yang agak menarik dan mendebarkan walaupun pemain-pemain yang diturunkan ratanya masih muda dan kurang berpengalaman. Ada beberapa percubaan yang terkena tiang, diselamatkan penjaga gol dan 2 gol dibatalkan kerana ofsaid. Kemenangan berpihak pada Liverpool FC apabila tandukan Virgil Van Djik pada minit ke-28 masa tambahan menerobos gawang Chelsea. Syukurlah tak terheret ke penentuan set penalti sebab aku dah mengantuk. Masa upacara penyampaian piala aku tertidur. Hahaha. Tua dah ni tak larat berjaga lama-lama.

Pagi ni kita ke tempat kerja dengan senyuman. Monday Blues hanya untuk penyokong Chelsea FC sahaja ya. 

YNWA Reds!


Read More

Pergi Dungun, Terengganu naik flight? Guane terr

Monday, 19 February 2024

Sejak En.I start kursus di PULAPOL (Pusat LatihanPolis) Dungun 14 Januari lepas, aku memang tak jumpa dia. Pulapol lagi strict dari sekolah tahfiz. Handphone boleh pegang seminggu sekali, tu pun hanya untuk beberapa jam je. Kalau suami aku free dia akan call aku guna public phone. Dah macam bercinta zaman 90-an pulak. Outing memang takde. Langsung.
 
So, bila suami aku cakap yang aku boleh datang tengok dia cuti CNY baru ni aku excited la. Nak jugak tau keadaan tempat dia tu macamana sebab masa daftar masuk, company dia sediakan transport

Asalnya aku nak pergi dengan famili belah mertua tapi last minute takde siapa dapat follow aku. Plan asal ke laut weeehh. Famili aku pulak memang awal-awal aku tau ada hal. Nak drive sorang aku tak larat sebab musim perayaan dah tentu jalan jam. Lagipun aku senang mengantuk. 

Maka menggelupurlah aku sorang-sorang lagi 2,3 hari nak cuti CNY tu. Rasa nak nangis pun ada tapi aku kuatkan semangat. Tengok tiket bas 10 February, tinggal petang je. Aku takde siapa nak contact kalau sampai Dungun tengah malam. Suami aku bukan boleh keluar amik aku. 

Dengan pasrah aku bukak website Air Asia. Takde pilihan lain selain naik flight. Airport yang paling dekat, Kuala Terengganu. Still, flight yang ada pun petang tapi ke KL-KT hanya makan masa sejam so aku tak perlu risau sampai lewat malam.

Sabtu pertama cuti CNY. KLIA2 takdelah sesibuk yang aku jangka. Aku sempat lunch dulu. Nak solat je tak sempat sebab 1.30 dah start boarding. Zohor lambat masa ni

Ikutkan kalau dari KL, naik flight ke KT kemudian ke Dungun agak nonsense sebab dah naik ke atas pastu turun bawah. Tapi nak buat cmane, takkan nak lompat pakai parachute masa on the way.

Harga kau jangan tanya. Boleh lepas tiket pergi Bali! Mahal sebab beli last minute. Pejam mata jelah. Suami punya pasal. 

So tengahari Sabtu tu,aku naik MRT sampai Putrajaya Sentral kemudian naik ERL sampai KLIA2. Dah mudah bila ada MRT aliran Putrajaya. Kalau dulu kena naik ERL dari TBS atau KL Sentral, ni dah jimat sebab aku pakai pas MY50 sampai Putrajaya then dari sana hanya 2 stesen nak sampai KLIA2.

Aku tak check in luggage. Ni pun berat sebab bawakkan beberapa barang En.I.

Alhamdulillah flight sampai on time, aku dapat window seat dan sampai pun slightly awal. Aku perasan kalau aku naik flight solo selalu dapat window seat. 



Bersih sikit la sungai kat Terengganu ni berbanding sesetengah negeri yang keruh macam teh tarik. Nak ambil gambar dari atas pun tak tergamak

Airport KT macam airport KB jugak. Tak besar. Bagus. Tak jenuh menapak

Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Ini kali pertama aku touchdown sini. Tak sempat explore sebab nak rushing ke Dungun pulak

Ambil gambar ni dari dalam Grab

So, macamana dari KT nak ke Dungun? Boleh sewa kereta atau naik teksi. Tapi jarak Dungun dan KT jauh juga.  Lebih 80km. Ada RM200 dalam tangan bolehlah naik teksi. Aku nak jimat so naiklah bas. 

Dari airport KT aku naik Grab ke Terminal Bas Ekspress Kuala Terengganu ataupun diorang panggil Terminal MPKT. Aku tanya driver Grab tu, KT ada berapa stesen bas ekspress, dia cakap satu je. Aku dah lama tak naik bas ekspress ke/dari Kuala Terengganu. Last aku naik, bas ke pantai timur masih berpusat di Hentian Putra area PWTC nun. La ni hentian tu pun dah takde. 

Agak lengang walaupun cuti CNY. Memang orang dah tak datang Kuala Terengganu naik bas ke?

Nasib baik aku beli tiket bas online sebab semua kaunter bas di terminal MPKT ni tutup! Pelik betul. Hanya satu je bukak.

Rupanya bila aku tanya orang tempatan, ada akak ni cakap sekarang terminal bas MPKT dah amalkan sistem pembelian berpusat ala TBS. Tu pasal satu kaunter je ada. Kaunter yang sama untuk tukar boarding pass. Menyumpah jugaklah aku sebab tukar boarding pass tu kena bayar RM2. Macamanalah nak support budaya paperless macam ni? Alang-alang dah beli tiket online, biar jelah scan pakai QR macam kat airport tu. 

Sebelah terminal bas ni adalah Hotel Paya Bunga

Sementara tunggu bas ke Dungun, aku pergi solat Jamak Zohor-Asar di Kompleks Paya Bunga Square sebelah Hotel Paya Bunga tu. Terminal MPKT ni complete je tandas dan surau tapi taulah aku ni kan diva. Hahaha. Kompleks Paya Bunga Square tu merupakan mall bersambung dengan UTC Kuala Terengganu, tapi tak banyak sangat kedai. Entahlah kenapa aku tak ambil gambar. Gambar hentian bas pun tak banyak. Maybe aku anxious kot selagi tak jejak kaki ke Dungun. Suami aku pulak sikit-sikit call. Walaupun puas aku cakap yang aku dah biasa naik flight dan naik bas sorang.

Nak dijadikan cerita, bas ke Dungun lambat sampai. Aku dah gelisah. So duduk lah dekat satu famili Melayu ni sebab KT ni boleh tahan ramai jugak warga asing Bangladesh walaupun tak seramai di KL. Aku borak dengan sorang akak ni, rupanya dia nak ke Kemaman tapi akan naik bas yang sama dengan aku. Kiranya bukan bas ekspress la, tapi berhenti-henti jugak. Bas tu dari Jerteh ke mana entah sampai ke Kuantan. 

No wonderlah lambat. Aku pun malas nak bising-bising, kang buatnya driver tu sabotaj aku tak announce once dah sampai Dungun naya pulak. Macam aku pernah cakap, Terengganu adalah negeri yang agak asing bagi aku. Bateri handphone aku pun dah tinggal sikit masa tu. Dalam perjalanan hampir 2 jam aku tak berani main game atau on internet sebab nak jimat bateri untuk Grab once dah sampai Dungun.

Sampai Dungun hampir pukul 9. Takdelah lewat sangat. Alhamdulillah. Terus naik Grab pergi check in Sura Inn.

So begitulah kisah perjalanan aku ke Dungun, Terengganu menaiki flight. Option yang tak berapa recommended melainkan terpaksa. Bila ramai dok tanya-tanya kenapa aku naik flight aku pun malas nak explain, kang buat sakit hati je. Haha.
Read More

Pengalaman menginap di Sura Inn Dungun

Thursday, 15 February 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Aku nak share penginapan aku selama 2 malam di Dungun, Terengganu cuti CNY baru-baru ni. Buat yang mencari hotel bajet tapi selesa di area Dungun bolehlah try menginap di sini.

Aku book Sura Inn melalui laman Agoda dengan harga RM150 untuk penginapan 2 malam. Harga yang agak murah sebab book pun last minute. Ini kali pertama aku menginap di 'Inn'. Aku teruja ingin mengetahui apa bezanya inn dengan  hotel dan homestay.


Nama pun simply to sleep so di sini takde swimming pool atau gymnasium ye. Itulah konsep Inn. Penginapan yang basic macam kita tumpang tidur rumah saudara atau kawan, bezanya kena bayar dan tak disediakan sarapan.

Aku sampai di Dungun hampir jam sembilan malam. Daerah yang asing bagi aku. Dari stesen bas Dungun, aku menaiki Grab sahaja ke Sura Inn. Jarak Sura Inn dengan stesen bas Dungun hanyalah 7km. Ini kali pertama aku ke Dungun dan aku kagum sebenarnya tengok Dungun agak maju. Kedai-kedai masih dibuka, jalan raya masih dipenuhi kereta dan ada Food Festival di salah satu dataran yang menjadi tumpuan penduduk tempatan. Aku tak pergilah sebab dah penat. Fikir nak rehat sahaja.

Aku sampai lewat dari jangkaan tapi aku dah maklumkan awal-awal pada pemilik Sura Inn. Dia yang attend aku masa aku sampai. Muda lagi orangnya. Sangat friendly dan polite. Check-in pun mudah dan cepat tanpa deposit.

View dari seberang jalan. Rumah banglo putih yang takde logo tu tempat pemilik inn tinggal. Bestnya kalau mampu buat macam ni kan.

Bilik yang aku tempah adalah Economy Queen Room. Ada private bathroom dan aircond. Ada beberapa pilihan bilik di Sura Inn so pilihlah yang sesuai dengan bajet dan bilangan penghuni. Nyaris aku terpilih Economic Double Room kerana murah sedikit. Rupanya Economic Double hanya ada kipas, tiada aircond dan bilik air di luar bilik. 

Aku ingatkan cafe dia betul-betul dalam kawasan rumah tapi rupanya selang 2,3 buah rumah. Boleh COD atau self pick up tapi malangnya masa aku sampai ni Santai Sura Cafe tak bukak

Masa on the way ke Sura Inn, sempat aku borak-borak dengan driver Grab dan dia cakap dengan aku senang je nak book Grab di sana, Foodpanda pun ada kalau nak makan. Nasib baik dia bagitau sebab malam aku sampai tu aku tak book kereta sewa lagi, so just guna khidmat panda pink untuk beli makanan dari restoran tomyam berhampiran. Apo entah nama aku dah lupa.

Ada hot shower dan tandas yang selesa dah lebih dari cukup untuk aku. Towel disediakan, tapi toiletries tak ye.

Iron ada, tapi kena share

Ada dapur yang bersih dan selesa. Memang vibe macam kat rumah gais! Water filter tu ol skool.

Berhadapan dengan Sura Inn ada port breakfast sedap

So? Recommended ke? Highly! Cuma ada beberapa point yang korang kena consider iaitu ada beberapa bilik terletak di tingkat atas. So kalau bawak orang tua atau ahli keluarga yang berkerusi roda mungkin lebih prefer bilik tingkat bawah. Boleh pilih option contact property sebelum select room untuk kepastian.

Bilik aku di tingkat bawah. Katil selesa, bilik bersih, ada airconf dan TV siap Netflix tu! Sempatlah aku tengok La Luna sementara layan mata nak tertidur. Sesekali dengar bunyi dari guest tingkat atas. Tak berapa soundproof. Dulu aku jenis mudah terjaga tapi sejak kahwin ni dah terbiasa dengar dengkur suami dan bunyi bising kereta (rumah aku sekarang sebelah highway), telinga aku dah tebal. Haha.

OKLah tu je nak cerita. Perjalanan aku ke Dungun dan kenapa aku ke sana nantilah aku story ye. 

p/s: tak sangka dah kahwin pun masih berpeluang travel solo macam ni. ;p

Read More

La Luna (2023) Film Review

Wednesday, 14 February 2024

Allah Maha Melihat

Assalamualaikum dan hai semua! Kali pertama menonton trailer La Luna di media sosial tahun lepas, aku teruja untuk menonton tapi tayangan di pawagam bagaikan angin lalu. Bila start tayang dan bila habis pun aku tak sedar. Mungkin aku yang sibuk, tiada promosi ataupun filem ni yang tak laku maka tempoh tayangan dipendekkan; entahlah yang mana satu. So bila ternampak di Netflix baru-baru ni aku terus tekan 'Play' tanpa berfikir panjang.

Filem berdurasi 1 jam 49 minit ini mengisahkan Hanie (Sharifah Amani), seorang wanita bujang yang membuka kedai pakaian dalam 'La Luna' di Kampung Beras Basah. Penduduk Kampung Beras Basah mengamalkan cara hidup yang agak konservatif di bawah pimpinan Tok Hassan (Wan Hanafi Su). Kehadiran Hanie dan kedai lingerienya kurang disenangi Tok Hassan dan beliau mencuba pelbagai cara untuk menutup kedai Hanie.

Begitupun, Hanie disenangi wanita-wanita kampung terutamanya Azura (Syuma Salihin), seorang remaja yang 'rebel' dan menentang corak pemerintahan Tok Hassan. Perangai Azura menimbulkan kerisauan kepada bapanya, seorang chief polis merangkap bapa tunggal bernama Solihin (Shaheizy Sam)

Filem arahan M.Raihan Halim ini begitu straight forward dengan plot yang mudah difahami. Ada babak yang kelakar, ada juga yang menyayat hati. Ditambah pula dengan lakonan watak-watak utama mahupun tambahan seperti Nadiya Nisaa, Namron, Farah Ahmad, Eidil Dzuhrie, Hisyam Hamid dan ramai lagi. Setiap watak menyumbang kepada jalan cerita tanpa babak yang meleret-leret. Ada waktunya terasa vibe menonton filem-filem Kampung Pisang arahan arwah Mamat Khalid .

Yang paling aku suka tentang filem ini adalah konsep 'Show, Don't Tell' yang jarang aku lihat dalam filem Melayu sejak Bunohan (2011). Contohnya babak Tok Hassan merokok, para suami termenung di kedai kopi dan papan tanda 'Allah Maha Melihat' yang terpampang di sekitar kampung. Jarang ye filem Malaysia macam ni. Selalunya banyak cakap dan preachy. Maybe that's just me. Aku suka filem yang membiarkan penonton membuat andaian sendiri.

Filem La Luna walaupun ringan tapi sarat dengan mesej.  Selain dari topik 'penunggang agama' yang agak cliche, aku suka ia memaparkan feminisme tanpa perlu melebih-lebih. Hanie bukan nak melawan lelaki, dia hanya ingin mewujudkan tempat selamat untuk wanita kerana wanita hanya ingin disayangi. Gitu.

Tapi..entahlah aku rasa chemistry Amani dan Sam kurang menjadi. Sam pun nampak terlalu muda untuk menjadi bapa kepada anak yang sudah bersekolah menengah. Watak Azura pun macam terlalu 'melebih'. Aku percaya kalau karekter Azura tone down sikit pasti penonton akan kurang menuduh filem ini terlampau liberal. Aku perati je kalau-kalau tersentuh soal akidah macam 'Mentega Terbang', tapi level 'Gubra' pun tak sampai. 

So..tontonlah filem ini dengan fikiran terbuka tapi kalau boleh tontonlah tanpa anak-anak sebab ada babak-babak yang agak nakal. Nasib baik aku dah kahwin, kalau tak mesti tak faham. Hahahaha

OK lah tu je nak review. Lama giler tak buat movie review.

Read More

January 2024 - 2 Funerals and a Wedding

Saturday, 3 February 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Dah dekat seminggu masuk Februari baru ingat nak share highlight bulan lepas kan. Apo lah tertinggal keretapi. Eleh, macamlah ada orang nak tahu sangat perkembangan hidup aku. Kah kah.

Bulan pertama di tahun 2024 ni, aku berhadapan 2 pengebumian. Teman rapat dan bapa saudara. Boleh baca di SINI dan SINI. Al-fatihah untuk mereka berdua.

Sempat jugak pergi wedding kawan baik En.I. Bertuah betul suami aku pakai keris pengantin masa ambil gambar padahal kitorang ni bau pelamin pun tak hilang lagi. Jarang sebenarnya dapat pergi kenduri kahwin sama-sama sebab suami aku ni selalu kerja hujung minggu. Dah 3 bulan kahwin baru merasa 2 kali.

Pergi makan dengan tokwan suami. Suami aku ni untung ada atuk dan nenek lagi belah mak. Dapatlah aku menumpang kasih. Atuk-atuk aku lama dah takde

Dating dengan En.I. Gi karaoke, makan-makan dan Muzium Bank Negara. Story pergi muzium boleh baca SINI

Program Temu DBKL di Stadium Bola Sepak Cheras, KL. Aku pergi sini sejam dua je sebab panas. Nak buat entry pun takde idea. Ada reruai jabatan-jabatan di bawah DBKL dan jualan rahmah. Yang paling best, booth Jabatan Alam Sekitar boleh tukarkan barang recycle dengan barang keperluan asas macam telur, sardin dan tepung. Ni aku gi sorang.

Jadi Volunteer di FreeMarket. Boleh baca story di SINI

Join aktiviti 'Pound' di Taman Tugu

'Pound' adalah senaman menggunakan 'ribstick'. Rupa macam drumstick (yang orang buat pukul dram, bukan peha ayam). Sebenarnya sejak aku kahwin aku tak berapa aktif sebab dalam fasa trying to conceive kan. So tak boleh lasak sangat.

Eh...kata tak boleh lasak then kenapa join? Sebabnya sekarang aku dengan suami aku PJJ sebab dia ada kursus di Terengganu. Bayangkan baru tiga bulan kahwin dah kena berjauhan. Kadang-kadang bila dapat video call aku sampai menangis sebab rindu. Haha. Mengada betul. Macam dia sorang je ada laki.

Harapnya En.I dapat balik sebelum puasa bermula. Ni first time puasa bersama as suami isteri. Aku respect lah orang yang boleh PJJ dengan anak berderetnya. Memang hebat. Masalahnya aku ni kebosanan jelah bila dah tinggal sorang. Nasib baik rumah mak dekat. Tu yang kalau weekend ada je aktiviti aku. Ni pun banyak aku tak share contohnya lepak minum-minum dengan member .

Ni contoh 'Pound' workout. Tapi aku takdelah intense sangat.


Oh by the way pergi 'Pound' hari tu, sakit badan sampai seminggu. Tahan jelah.

Harapan aku segala yang aku plan bulan Februari ni menjadi kenyataan walaupun nampak seperti ada halangan. Doakan urusan aku dipermudahkan ye. Aku doa yang sama untuk korang jugak.

Read More

Jadi Volunteer di FreeMarket Back to School

Wednesday, 31 January 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Weekend baru ni aku join FreeMarket Back to School dengan keizinan En.I. Alhamdulillah, En.I ni kalau dia kena kerja/kursus over weekend or public holiday, dia tak kongkong aku nak keluar campur orang. Asalkan aku pandai jaga diri dan seelok-eloknya ada kawan perempuan or ahli keluarga join sekali. Tapi kadang-kadang aku redah je gi mana sorang-sorang. Bertabahlah suamiku dapat isteri yang dah biasa independent dan tak reti duduk diam.

FreeMarket tu flea market ke? Tidak sama sekali. Kalau flea market melibatkan urusan jual beli, tapi FreeMarket ni barang-barang diberi percuma. FreeMarket yang aku pergi ni di bawah anjuran NGO Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin. Istimewanya FreeMarket ni, penyumbang boleh pilih nak bagi barang baru atau barang terpakai. Sebelum ni aku pernah join tapi sebagai penyumbang. Aku dulu clearkan baju terpakai aku dan adik aku. Walaupun sayang tapi dari dibiar baju-baju tu terperap dalam almari, nanti di akhirat kena hisab wehh.

Asalnya aku ajak adik aku sekali tapi dia ada hal. Penyudahnya aku gi sorang. Aku dah agak yang orang akan ramai dan susah dapat parking so aku mintak Abah aku hantar naik motor. 

Ramai orang beratur sementara dibenarkan masuk

Ada juga anak pokok diberi percuma

Penyumbang datang awal untuk set up booth

Volunteer ada nametag tau

Tolong-tolong susun je

Ada jugak bukak booth potong rambut

Pengunjung dibenarkan masuk pada jam 9.30 pagi

FreeMarket kali ni memanglah ramai sangat pengunjung berbanding yang aku sertai tahun lepas. Sempat jugaklah 2 kali aku buat announcement anak hilang.

Aku biasa jugaklah join event as volunteer ni. Memang have fun walaupun penat. Makanan untuk volunteer, comittee dan penyumbang disediakan. Sijil pun dapat

Sekali-sekala jumpa circle baru.

UniKL sumbangkan volunteer sampai satu bas. Aku ni buat-buat sibuk je. Huhu

Harap next time boleh join event macam ni lagi. Berpeluang nak join pun bila En.I jauh. Kalau dia cuti kenalah layan dia. Dah jadi isteri orang bukan boleh impulsive sangat macam dulu. Circle pun dah makin kecik.

Seronok sekali-sekala join aktiviti bermasyarakat macam ni. Hilang kejap kebosanan dalam hidup aku yang hambar. 
Read More