Percutian musim luruh di Osaka - Apa yang aku bawa

Thursday, 10 November 2016

Assalamualaikum dan Konnichiwa! Sebelum aku share pasal travel aku ke Jepun, aku nak cerita dulu pasal persiapan ke sana.

1. WAJIB
  • Passport - valid 6 bulan dari tarikh korang kembali ke Malaysia. Sewaktu artikel ni ditaip, rakyat Malaysia tak perlukan visa untuk ke Jepun. So, tenang aje.
  • Tiket flight. Jemput baca drama flight ticket kitorang untuk panduan. Hihihi
  • Wang tunai bergantung kepada nafsu makan dan shopping kalian. Yang penting, cukup untuk beli pass train dan duit emergency. Aku juga bawa sampul duit raya untuk asingkan duit ikut keperluan.
Ni nak pergi melancong ke nak pergi beraya? Rilekslah..aku cuma bawa sepaket saja. Gambar recycle Syawal lepas.
  • Ubat-ubatan yang sepatutnya. Paling penting bagi aku adalah Gelusil (pil Charcoal) , Panadol dan Clarinase (ubat selsema tak mengantuk).
  • International adapter, powerbank, charger, kamera, extra memory card etc. Barangan elektronik aku handcarry. Masa aku pergi ni, Samsung Galaxy Note 7 tidak dibenarkan bawak naik flight Air Asia. So, if ada, tinggalkan di rumah sebelum kalian menangis mintak kesian kat kaki staf berskirt merah.
2. Luggage

Mana-mana orang yang pernah pergi Jepun akan bagitau benda ni : kena banyak berjalan dan turun naik tangga. Jadi, tak perlu bawa luggage besar. Sedar diri yang aku tak larat dan takut tersungkur di pintu train, aku breakdown kepada beberapa beg. Satu beg troli saiz kecik, satu backpack besar sikit dari beg sekolah dan beg canvas saiz sederhana untuk handcarry. Badan lebih balance berbanding heret satu beg besar.

3. Pakaian

Aku pergi Osaka di penghujung bulan Oktober. Masih awal autumn (musim luruh). Aku tak pernah ada pengalaman autumn trip di mana-mana negara empat musim, jadi aku cuma andaikan yang pastinya ia musim yang berangin. Tapi, hasil pembacaan dari blog dan trip advisor, ramai mengatakan yang autumn di Osaka tak ubah macam duduk dalam aircond separa kuat. Selesa dengan hanya sweater nipis.

Pengalaman menggigil di Melbourne mengajar aku yang aku kena bersedia sebab kesejukan akan menyebabkan mood hilang dan rasa nak duduk dalam bangunan atau kenderaan sahaja. Travel mate aku, ND kerap check weather forecast sampaikan 3 hari nak pergi baru aku decide nak bawak pakaian macam mana.

Tau kenapa aku pening kepala? Suhu yang kerap berubah. Contohnya siang suhu 20 darjah, tapi malam mampu drop sampai 9. Pastinya kami akan keluar dari pagi sampai ke malam, adatlah kalau melancong. So, pakaian macam mana yang sesuai? Aku guna tips ni : Layering.


Aku bawa Ultra Light Down ala Uniqlo, tapi aku punya murah sahaja, aku beli di Decathlon, harga dalam RM 120. Asalnya, hanya ND yang nak beli, tapi nafsu membuatkan aku tumpang sekaki. Padahal aku dah pau jaket tebal anak saudara aku, winter coat pun aku ada. Kenapa Down? Sebab boleh digulung masuk dalam backpack dan boleh dibuka atau dipakai bergantung pada keadaan. Aku juga bawa satu sweater biasa.

Pakaian harian aku bawak sikit sahaja, sebab apartment kitorang ada mesin basuh.  Selain tu, aku bawa 2 seluar jeans. Mohon jangan bawa seluar nipis macam palazzo atau dari kain cotton. Even dengan thermal wear pun takut korang tak mampu menahan sejuk.

Bawa stokin lebih, sebab kaki akan busuk woi. Kalau seketul manusia paranoid spesis aku bolehlah bawa kasut extra sepasang. Pakai sport shoes or boots. Sukatilah janji selesa. Nak ikut awek Jepun pakai heels pun boleh, tapi pastu kalau kaki blisters jangan nangis kat aku ek. Psst..orang kat Jepun bergaya, so kalau selama ni korang malu nak dress up, kat Jepun lah tempat nak acah hijabista or trendsetter. Kalau nak nampak variety bila bergambar (mostly gambar in sweater or coat je nanti), bawaklah banyak tudung. Yang senang gosok. Aku bawak bawal sebab aku bawal diehardlover. Tapi pastu menyesal. Kah kah. Brooch dan peniti bawak lebih. Kat sana takde jual.

Kalau perlu, bawaklah long john. Aku malas sebab nanti spend lama pulak masa kat tandas. Hakak ni dahlah kuat membese bak kata orang Johor. Inner tu terpulanglah, if mampu belilah yang heat tech tu. Cari yang berkualiti, so tahan lama. Kalau takde, inner dan singlet biasa pun boleh. Tak perlu spend banyak. Benda pakai dalam je pun

4. Makanan

Memandangkan aku sibuk bab itinerary dan transport, aku serahkan soal makanan dan cuaca pada travel mate aku yang lain. Currency Jepun yang tinggi membuatkan kami cuba elakkan makan dekat luar. Jadi, kami bawa banyak bekalan makanan dari Malaysia.

Dengan bantuan Brahims, anda mampu menikmati Beriani Kambing di bumi Samurai. 

Oh ye, tak perlu bawa periuk nasi sebab dari cerita orang, alatan elektrik dari Malaysia tak dapat berfungsi di Jepun kerana watt berbeza. Walau dengan bantuan international adapter.

Kami bawa Maggi, pek makanan Brahims, biskut, three-in-one, tuna, sardin, sambal ayam penyet, sambal ikan bilis dan dendeng. Jepun kurang strict bab makanan dibawa masuk, tapi bab meat or poultry product ni bergantung pada luck. Ni aku akan cerita lebih lanjut nanti. Tapi nak selamat, bawaklah produk berasaskan ikan. Nasi senang cari di Jepun. Makanlah onigiri, ataupun nasi ready to eat boleh beli di 7Eleven atau mini mart.

5. Barang-barang lain
  • Hanger. Aku selalu bawak hanger bila travel, tak kisahlah jauh atau dekat. Mak aku ajar.
  • Toiletries - pun OK if nak beli sana. Untung lebih kalau korang pengguna skincare Jepun. Shiseido dan SK II jual kedai biasa je kat sana.
  • Raincoat/payung - kat Jepun mahal
  • Hand lotion
  • Mafla or shawl untuk tahan sejuk - aku menyesal tak bawak mafla bola aku. Sob sob. 
  • Glove
Tapi aku rasa basic necessities takde masalah beli kat sana. Harga tak beza banyak. Manalah tau pas pakai kulit putih macam orang Jepun. Kah kah. Cari kedai 'Tax Free Shop' tau. GST Malaysia pun kau dah sedih nak bayar, nak bayar kat kerajaan Jepun buat apa.

6. Itinerary dan plan transport pass

Rancang perjalanan anda dengan baik terutama kalau korang pergi lebih dari satu daerah di Jepun. Memilih transport pass di Jepun sangat tricky, so buat research awal. Bab ni bergantung kepada tempat penginapan dan tempat korang nak pergi.

Sekian perkongsian aku. Kalau ada apa-apa tetiba teringat aku add on later ye. Yang penting nak ke Jepun ni kena bawak doa banyak-banyak, bersedia fizikal dan mental dan hati yang terbuka. Have fun, sebab Japan memang seronok!

Tak percaya? Tunggu aku update entry ye. Thanks for reading!

Read More

Krabi Part 7

Saturday, 5 November 2016

Assalamualaikum semua! Dalam pada aku excited nak sambung kisah Jepun, kisah di Krabi jangan dibiar berkubur tanpa nisan macam kisah Melbourne. Hehehe.

So, marilah kita iklan Thailand sekejap. Lagipun, korang gak kata iklan Thai best-best ye tak.

Petang tu, pas rest sekejap, kitorang keluar jalan-jalan cari makan dan cari souvenir. Makan jelah kerja kalau kat Krabi ni. Mentang-mentang senang cari yang halal.




Kitorang makan ni, aiskrim kelapa. Stail Sangkaya la, tapi jauh lagi murah dan sedap. Menyesal beli satu je. Haish.

Pastu merayau cari souvenir. Macam-macam choice ada. Standby duit je.


Senja berlabuh, kita layan rona jingga di Pantai Ao Nang. Ayat novel sangat kau..

Satu tabiat aku kalau gi tempat orang, aku suka naik public transport yang dianggap icon tempat tu. Kalau Thailand, mestilah tuk tuk. Aku pun memujuk ND ngan SR naik tuk tuk. Tapi nak ke mana? Malas nak pergi jauh, dan belum rasa nak balik hotel lagi. Then, aku teringat yang kitorang ada lalu McDonald on the way ke pantai so aku request naik tuk tuk ke sana.

Mujurlah kawan-kawan aku sudi melayan perangai aku yang entah apa-apa. Haha. Cukuplah duduk atas tuk tuk beberapa minit. Janji, lepas hajat. Eh..sampai hajat! Tak singgah pun McD tu, nak buat landmark je. Takkan naik pusing-pusing town tak tentu hala.


Kitorang dinner kat sini



Aku order ni - Somtum! Antara makanan tradisi Thailand. Sedap, tapi cepat kenyang mugkin sebab mi dia kenyal. Nak makan kena gaul sekali dengan taugeh, serbuk cili semua tu. Aish, taip ni pun boleh terasa dalam tekak lagi. Sedap!

Pas makan, merayap lagi. Sebab malam tu aku ada plan. Cuma plan tu mustahil nak ditunaikan immediately lepas makan. Mau muntah hijau!

Dah penat merayap, aku ngan SR pun menunaikan wishlist terakhir iaitu massage! Pusat urut kat Krabi ni bersepah-sepah. Kali ni kitorang massage badan. Since ND dah ngantuk, dia balik bilik dulu. Aku ngan SR gi massage kat depan hotel je. Ala, harga lebih kurang. Tak kuasa aku nak survey bagai.


Time tengok tilam ni mata dah separa ngantuk. Tapi Thai massage memang takde peluang nak tidur. Di lipat-lipatnya badan aku macam yoga. Nasib baik lah yang massage tu badan kecik macam aku je. Kalau tak jadi pancake le hakak.

Dah massage, kita balik bilik lah tidur dan packing barang. Nasib baik muat beg aku nan satu. Korang jangan terperanjat beruk mat yeh kalau travel ngan aku. Aku memang jenis travel light tahap gelandangan punya. Sebab aku ni ada masalah tak larat bawak beg berat-berat dan besar. Apatah lagi berat aku macam budak darjah enam, cukuplah carry beg yang besar sikit dari beg sekolah.

Macamana aku manage? Nak aku story ke? Tak payah la, aku jenis tak pandai bergaya, cuma rajin bab basuh baju. Sesetengah orang nak nampak cantik dalam gambar, so tak suka repeat baju. Aku ni pakai apa pun rupa tang tu jugak, so malaslah nak try hard. Kah kah.

Pagi esoknya, kitorang gi breakfast kat kedai yang sama. Memang sedap nasi kerabu dan nasi lemak kedai acik tu. Hot cocoa dan green tea dia pun sedap. Green tea Thailand ni unik tau. Nyesal tak beli buat souvenir! Gambar? Poyo plak gi breakfast pun nak heret kamera dan handphone.

Kitorang ke airport naik shuttle cab. Staf kat hotel tolong book. Shuttle amik betul-betul depan hotel dan direct ke airport.

Urusan imigresen berjalan lancar. Selamat tinggal Thailand! Ada rezeki nak ke sini lagi!

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5 
Part 6
Read More

Jepun - Impian yang...

Thursday, 3 November 2016

Assalamualaikum semua! Rindu I tak? Ke mana aku menghilang? Mana lagi kalau tak ke Negara Matahari Terbit - Jepun. Antara impian dari kecil!

Kenapa Jepun? Mungkin sebab generasi lahir 80-an macam aku, membesar dengan kartun dan drama alih suara Jepun. Siapa familiar dengan 'Sommersault' dan 'Lompatan berpusing', sah dia dah tua. Kah kah. Zaman sekolah menengah, selain drama Cina, petang-petang weekend tak sah tak menghadap 'Love Generation', 'GTO', 'Power Office Girls', 'With Love' dan 'Long Vacation'. K-Pop, drama Korea semua ni mana sampai Malaysia lagi time tu.

So, bila member aku, si ND ajak gi Jepun, aku terus 'ON'. Eh jap, pernah ke aku menolak bila orang ajak travel? Hahaha. ND kata kawan-kawan office dia nak ikut. Aku tak kisah pun, bab travel ngan stranger ni aku dah terbiasa. So, bermulalah perancangan 4 gadis pingitan ke Jepun.



Confession time..aku ni bab tiket flight memang bongok skit. Serius, kalau korang tanya bab booking tiket ke, beli seat ke, memang aku tak reti. ND lah orangnya yang beli tiket pergi ke Osaka untuk 4 orang. Time tu tak plan lagi nak balik dari mana. Maybe Okinawa. Or Tokyo. Maybe Sapporo. Jepun kan bosar! Pilihan ada banyak. Yang pasti, 4 tiket ke Osaka-done!

Kitorang dah mula risik-risik iti dan tempat menarik. Suatu hari terborak ngan sorang rakan blogger dan dia cakap dia nak ikut jugak. Aku dah garu kepala. Yelah, bila kita pun orang ajak, takkanlah kita nak ajak orang. Tapi ND dan tiga lagi kawan dia tak kisah, so dari 4 jadilah 5 dara.

Satu je masalah...cik blogger ke-lima ni (aku panggil dia NH jelah ye) tak ada tiket lagi. Hari-hari lah keje kitorang check ticket pergi untuk dia dan tiket balik kitorang semua dari Tokyo. Itulah muktamadnya. KL-Osaka-Tokyo-KL. Planning-done!

Kemelesetan ekonomi menyebabkan plan balik dari Tokyo terpaksa diubah. Tokyo-cancel! Aku dah mula monyok. Sebab Tokyo tu macam tempat wajib pergi kalau ke Jepun. Itinerary terpaksa dirombak. No Tokyo, hanyalah area Kansai yang menjadi persinggahan.

NH cakap dia kenal agent yang boleh offer tiket murah punya. Seperti yang telah aku mention, aku memang seorang noob bab tiket. So, bila NH bagitau yang harga ditawarkan memang murah, so we olls pun dengan excitednya menghulur wang untuk tiket balik. Tiket pergi balik - done!

Dah dapat tiket, kita book rumah lah plak. Hasil perbincangan, kami berlima sepakat memilih rumah melalui AirBnB. Tak nak hotel since kitorang ramai. Lagipun rumah boleh masak. Booking apartment - done! 6 malam, untuk 5 orang.

Website yang simple dan boleh contact tuan rumah terus. Tapi dengar cerita, Jepun akan buat rule baru untuk airbnb ni, so korang check betul-betul ye supaya tak berhadapan dengan masalah.

Makin dekat tarikh nak pergi, bayang tiket balik masih tak kelihatan. Kitorang mula risau. NH paling ketara. So, dia contact agent yang jual tiket flight dan tanya mana tiket kitorang. Dia cakap, ticket open. Lagi seminggu nak pergi, baru dia akan bagi. Kitorang dah keresahan dan tak sedap hati. Walaupun aku noob, tapi kalau tak nampak bayang tiket depan mata, memang tak senang hati. So, kami decide untuk cancel dan mintak refund. NH rasa serba-salah sebab ni cadangan dia, so dia bayar dulu duit kitorang sementara agent yang dia kenal tu bayar balik. Tiket balik -undone. NH langsung takde tiket, pergi mahupun balik.

Kami kembali memburu tiket untuk balik dari Jepun. Menggila check website skyscanner hari-hari. Jauh di sudut hati, aku masih berharap dapat balik dari Tokyo. Manalah tau, kalau murah giler, travel mate aku akan berubah fikiran. Tapi sayang harga nampak macam tak mau turun. Yang murah hanya dari Osaka. Beli sahajalah tiket balik untuk kami berempat sebab masa makin suntuk. Lagipun nak finalise bab penginapan. Kalau nak balik dari Tokyo, kena cepat booking rumah or hotel, mana boleh tunggu last minute. So, KL-Osaka-KL done! Tapi NH macamana?

NH kata, dia akan ikut kami kalau dia dapat refund. Kasihannya aku rasa, sebab NH memang dah excited. Dia antara yang banyak menyumbang untuk itinerary dan info tempat-tempat menarik. Akhirnya NH memutuskan yang dia tak jadi ikut. Dari lima, kami kembali berempat. Sedih, of course lah. Kami berlima dah berjumpa sekali sebelum pergi. Dah jadi kawan. Selama ni kenal NH melalui blog je. Baru berangan nak cuti sekali, tiba-tiba ni yang jadi.

Kami pun contact tuan rumah untuk tukar tarikh dan kurangkan bilangan penghuni. Nasib baiklah mamat tu boleh faham broken English we olls. Apartment-done!

Nak sedapkan cerita, tetiba ND dapat email dari Air Asia. Flight pergi kami ditukar tarikh. Subhanallah, sabarnya lah kitorang, sebab dah booking rumah semua, bukan semudah itu nak tukar. Japanese are very strict! So, terpaksalah contact tuan rumah lagi sekali dan tukar tarikh dan tempoh penginapan. Kena penalti lah kan, tak boleh elak. Bengang gak time ni, tapi mujurlah rasa excited mengatasi segalanya.

Persiapan ke Jepun mula dibuat. Dah ada rumah, senang sikit nak buat itinerary. Tapi tu dia, punyalah banyak option pass train sampaikan tepu otak aku nak buat research. So, korang kalau nak ke Jepun, tolong prepare awal-awal. Tersilap merancang pengangkutan, banyak duit dan masa akan terbazir.

Dah ada flight ticket, itinerary, perancangan pass perjalanan yang akan digunakan, so apa lagi..ke Jepun lah kita!

Nanti aku sambung cerita lagi ye. Ni baru intro. Haha. Sila bertabah!

Buat NH, kitorang harap awak sabar ye. Mungkin takde rezeki nak cuti sama-sama kali ni. In the future siapa tahu. Bumi Allah ni luas. Anggap lah duit refund yang hilang tu rezeki yang Allah nak 'bersihkan' dan ada hikmah yang kita tak tahu.

Siapa NH? Mungkin dia akan dedahkan diri sendiri. Kalau tak, biarlah tinggal sejarah dan pengajaran untuk kita semua agar lebih hati-hati di masa depan.

Nantikan sambungan kisah aku ke Osaka di musim luruh. Thanks for reading!

Read More

Krabi Part 6

Sunday, 23 October 2016


Assalamualaikum semua! Sebelum aku 'terbang' hujung bulan ni, aku nak cuba tamatkan entry Krabi. Bak kata Mummydearie, nak jadi travel blogger yang berjaya kenalah habiskan cerita-cerita yang terbengkalai tu. Haha.

Aku kat Krabi tak lama pun. 4 hari 3 malam je. Ikutkan tu pun dah lama, tapi since kitorang malas nak rushing, so travel pun slow and easy. Janji enjoy.

Pagi-pagi dalam kul 8.30 dah ada orang tour agency amik kitorang. Macam yang aku ada mention dulu, package ke laut ni boleh beli di Krabi sendiri or beli dari Malaysia. ND dah beli siap so tak payah fikir dah. Tapi kalau korang tak sempat and nak tengok option lagi banyak, harga pun boleh tawar-menawar, agency bersepah sepanjang jalan kat pekan Aonang ni.

Dari hotel ke pantai Aonang dekat je, tak sempat panas punggung dah sampai. We olls naik truck. Pengalaman baru, jakun kejap aku. Driver truck akan singgah amik orang lain jugak. Tourist macam kami.

Sebenarnya aku sangat teringin nak naik tuk tuk yang bagi aku adalah identiti unik Thailand. Tapi tak dapat. Aku anggap jelah truck ni tuk tuk version besar. Mana ntah gambar, kalau jumpa aku upload.. Haha.

Dah sampai pantai kena tunggu orang lagi, nak naik bot. Biasalah kan, mesti ada yang lambat. Berlindung kat statue ikan todak besar gilos kat pantai Aonang sambil tengok manusia berbondong-bondong naik bot.


Time aku ke Krabi ni memang musim panas kaw kaw punya. Tapi mat saleh steady je berjemur. Gila apa kau..tak takut kena heat stroke ke?

Bot dah sampai, kita naik lah. Ada family Melayu, ada Chinese, Caucasian. Destinasi pertama adalah Koh Tap, atau Tup Island.


Keistimewaan Koh Tap ni adalah laluan berpasir yang menghubungkan Tup Island ngan Chicken Island. Bila air surut laluan berpasir ni memang visible, tapi time kitorang lalu ni nak sampai ke pinggang gak lah air laut. Nasib baik bawak beg kalis air kaler oren tu. Gantung je kat leher dan jalan.

Jauh jugak jalan, and of course tak pakai selipar. Sakit kaki pijak pasir. Kalau korang tak tahan pakailah kasut getah yang orang pakai dalam air tu. Sambil wading tu, main-main air. Mana yang tak larat nak pergi to and fro, swimming je kat Tup Island tu, tak pun gi separuh dah patah balik. Kitorang sampai ke hujung dan patah balik tau. Kalau tak patah balik, confirm stranded, sebab bot kat Tup Island. Haha. Oh ye, nak lalu ni kena follow penghadang yang dibuat dari pelampung. Jangan terlebih sebab tepi-tepi tu laut.

Pengalaman unik yang berharga, sebab bukan selalu dapat rasa lalu tengah laut macam ni. Suatu tanda kekuasaan Allah s.w.t. Teringat kisah tongkat Nabi Musa membelah Laut Merah.


Aku amik gambar ni masa dalam bot. Dah macam pelarian dah masing-masing.

Naik balik bot, gi snorkeling plak! Tapi snorkeling takde gambar..haha. 

My honest review, snorkeling kat Krabi takde lah best sangat. Tapi maybe untuk pakej ' Four Island' ni je kot. Ada orang kata Phi Phi Island lagi best. Tanya aku, Sipadan or Redang still lagi banyak coral dan ikan-ikan cantik.


            
Koh Kai atau Chicken Island, bentuk macam ayam

Kemudian kami dibawa ke Poda Island untuk lunch dan picnic. Air kat sini sesuai untuk snorkeling dan swimming. Time ni aku dah malas nak amik gambar. Sama je macam pantai-pantai lain.

Tapi pantai yang last sekali kitorang dibawa iaitu Railay Beach memang cantik okay! Air dia somewhat hijau dan sini ada private hotel. Sayang betul masa aku kat sini separuh tu habis kat tandas je! Memang best mandi kat sini.

Pulau kat Krabi ni satu je aku menyampah, susah cari tandas. Kalau ada pun kena bayar 10 baht. Spesis aku ni tak reti membuang dalam laut, kena toilet gak baru nak keluar.






Pendapat peribadi aku, pulau-pulau kat Krabi memang cantik! Tapi cantik lagi Malaysia. Hehe.

Tour 4 Island ni kul 1 lebih habis dah. Kami pun dibawa naik bot laju balik ke Aonang, pantai mula-mula datang tadi. Lepas tu, we olls pun balik ke hotel naik trak. Sampai bilik, solat zohor dan rest kejap lah. Petang karang baru keluar balik.

So, malam terakhir di Krabi apa mau bikin. Jeng jeng jeng. Nanti aku sambung ye.

Thanks for reading. Doakan travel aku kali ni berjalan lancar ye.

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Read More