"Dalam hidup ni, kita kena persoalkan semua benda"
Dalam sibuk-sibuk adik aku nak bertunang, sempat lagi aku ngan adik aku lagi sorang pergi tengok filem terbaru arahan Syafiq Yusof ni. Harus kalian tahu yang adik aku bukan penggemar filem Melayu. So, bila aku tanya apa sebab filem yang satu ni buat dia teruja, jawapan dia sama dengan aku: Nak tengok Kuala Lumpur kosong!
Semua orang tahu KL kosong adalah sesuatu yang mustahil berlaku. Lengang-mungkin, tapi menghilangkan semua manusia di dalamnya bukan mudah. Kredit untuk Syafiq n Co. kerana menjadikan sesuatu yang mustahil itu sebagai kenyataan. Teringin jugak aku nak tahu teknik yang digunakan.
Kalau lihat trailer, ramai boleh agak yang Aiman, (lakonan Syamsul Yusof) watak utama dalam filem ini tak habis-habis ditimpa malang. Melihat melalui kaca mata Aiman, kita semua akan sedar yang kita pernah berada dalam situasi itu. Mempersoalkan. Kenapa aku ni asyik ditimpa bala? Apa dosa aku buat sampai dapat ujian macam ni? Desolasi sebenarnya mendakwah kita tentang qada' qadr dan takdir dengan cara yang tak terjangka. Sedikit meremang bila persoalan 'kenapa kita solat?' ditimbulkan dan dikupas oleh watak-watak filem ini sedikit demi sedikit.
Dari segi lakonan, aku sebenarnya dari dulu tak gemar lakonan Syamsul Yusof. Bagi aku dia sedikit keras. Ada kalanya aku tergelak walaupun babak itu sepatutnya serius. Lakonan Jalaluddin Hassan sebagai ayah Aiman sememangnya menterjemahkan karektor kebanyakan ayah di luar sana. Aku suka watak Zaid (Pekin Ibrahim), bekas mat rempit yang tiba-tiba menjadi alim selepas ditimpa kemalangan. Dia meneutralkan watak kalut Aiman dan ayahnya menjadikan filem ini lebih seimbang.
CGI Desolasi agak realistik. KL dikosongkan, dikejar dinosaur, Aiman dan Maya (Bella Dally) terapung - nampak berkualiti untuk filem Malaysia yang pastinya tak segah produksi Hollywood. Sinematografinya juga. Scene kegemaran aku adalah apabila Aiman dan ayahnya berlegar di ruang sama tapi mereka tidak dapat melihat satu sama lain. Seolah Aiman berada di alam bunian. Tapi ini bukan filem mistik. Ini filem sains fiksyen yang cuba dikaitkan dengan elemen kerohanian. Idea yang rare dan satu percubaan berani Syafiq Yusof untuk keluar dari kotak.
Seperti biasa, ada idea pun tak guna kalau tak dilangsungkan dengan baik. Filem ini banyak juga kekurangannya selain lakonan Syamsul. Bagi aku, ciri-ciri skema filem Skop Production masih kuat. Kalau biasa menonton filem atau drama terbitan Skop , pasti dah terbiasa dengan dialog yang formal dan boleh lulus kalau nak guna dalam peperiksaan. Tengok Gerak Khas jelah cakap macamana. Watak Dr.Yap lebih kaku dari Aiman ada kalanya melucukan. Begitu juga watak-watak polis. Pelakon recycle. Jemulah..
Endingnya juga terlampau mudah. Filem genre macam ni bagi aku lebih kena dengan konsep kalau ending tergantung. Pernah tonton Sucker Punch, Identity dan Shutter Island? Konsep hampir sama tapi dalam ketiga-tiga filem tersebut, di penghujungnya penonton ditinggalkan dengan tanda tanya dan tidak mendapat penjelasan sepenuhnya. Tapi filem Malaysia kalau ending tergantung mesti akan kena kutuk ye tak? So, aku fahamlah kenapa semua persoalan dijawab dan diterangkan dengan terperinci dalam Desolasi. Sepatutnya tinggalkan sikit untuk penonton persoalkan.
Kalau kau tanya aku, Desolasi hampir sama konsep dengan S.A.M. Tapi Desolasi lebih berat dan agak sukar meneka plot twist. Aku bagi 3.9 bintang.
Korang patut tengok Desolasi. Percayalah.