Assalamualaikum dan hai semua! Seperti yang aku janjikan, ini perkongsian buku Penulis Yang Disayangi Tuhan yang aku terima dari Kak Ujie hasil cabutan bertuah segmen 'Nak Buku Percuma?'
Judul :PENULIS YANG DISAYANGI TUHAN
Penulis: Bahruddin Bekri
Bilangan m/s: 388
Genre : Fiksyen
Penerbit : Jiwa
Tahun Terbitan: 2021
ISBN:9789671826096
Sinopsis : Novel pertama karya Usamah mendapat sambutan yang hangat sampai kehidupannya bertukar menjadi senang dan mewah. Sehinggalah suatu hari, Joe Penapi-seorang pengkritik terkenal mengkritik novel kedua dan ketiga tulisan Usamah hingga menyebabkan jualan novel tersebut jatuh merudum dan syarikat penerbitnya gulung tikar!
Serta-merta, hidup Usamah jatuh miskin hingga dia terpaksa hidup di kawasan setinggan. Semangat menulisnya juga hilang. Usamah mahu keluar daripada kemelut kesusahan ini, lalu dia meminta bantuan Johari Salim, seorang penulis legenda.
Namun hendak mendapatkan semula semangat menulis bukannya mudah. Johari Salim menetapkan syarat pada Usamah untuk bertemu dengan lima bekas penulis hebat bagi mengetahui rahsia mereka. Dalam masa yang sama, jiran-jiran Usamah, warga Indonesia tanpa permit, memerlukan bantuannya daripada terus menjadi mangsa peras ugut.
Dapatkah Usamah mengembalikan semangat menulisnya? Apa rahsia yang dikongsikan lima penulis tersebut? Dan bagaimana pula nasib jiran warga Indonesianya itu?
Kali pertama baca review novel ni di blog Kak Ujie, aku memang dah tertarik nak membacanya, tapi sebab ada lambakan buku tak berbaca dalam simpanan, aku hold dulu. Terperap buku tu dalam cart Shopee. Tapi kalau rezeki tak ke mana, sampai jugak novel berwarna ungu ni ke tangan. Tapi ada syaratnya ... perlu membaca dan membuat perkongsian dalam masa sebulan dari tarikh buku diterima. Memandangkan hidup aku lately begitu mundane..so challenge accepted!
Awal-awal aku nak bagitau yang aku tak mahir menulis ulasan buku. Bagi aku tak semudah membuat ulasan filem mahupun ulasan perlawanan bola sepak kerana membaca perlukan imaginasi. Apa yang aku nampak dan faham, belum tentu sama dengan orang lain. Ewah.
So, here goes, aku tulis dalam bentuk point lah ye
- Menjadi seorang penulis adalah tanggungjawab yang besar. Hasil tulisan seorang penulis boleh membawa ke syurga, ataupun neraka.
- "Dalam dunia ni, duit umpama air di dalam tangki. Sekiranya kita cuai menutup pili, setitis demi setitis pasti air akan habis walau sebesar mana pun tangki itu. Apatah lagi kalau kamu membuka pilinya sepuas hati." Antara dialog yang aku suka dalam novel ni, tentang pentingnya berjimat cermat di waktu senang.
- Sabar adalah sifat yang paling penting bagi seorang penulis. Sabar bila dikritik, sabar ketika menulis dan sabar kalau tulisan tak mendapat sambutan.
- Penulis yang baik adalah yang mampu mengubah emosi manusia
- Satu penipuan akan membawa kepada penipuan yang lain. Ini merujuk kepada 'lakonan' jiran-jiran Usamah, warga Indonesia tanpa permit yang pura-pura ingin berbaik dengan Usamah kerana menyangka dia adalah polis yang ingin menangkap mereka.
- Novel ni juga mengajar tentang ilmu dan teknik penulisan secara tidak langsung. Penulis karya kreatif sesuai baca novel ni
- Semakin banyak proses yang perlu dilalui, semakin baik hasilnya. Contohnya misi Johari Salim pada Usamah, ada pengajarannya tersendiri di setiap langkah.
- Nafsu dendam dan marah itulah yang merosakkan manusia.
- Walaupun menulis dengan niat yang baik, ingin memberi pengajaran, tidak perlu berlebihan dalam menulis tentang kejahatan dan keburukan watak-watak. Contohnya filem-filem Malaysia. 90% adegan negatif dan maksiat, adegan insafnya 10% sahaja.
- Nak jadi penulis yang disayang Tuhan? Menulislah dengan asas Tauhid dan menerbitkan keinginan manusia mencari redha dan rahmat-Nya.