Ramadan ke 11 baru muncul entry ini

Friday, 22 March 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Haih, begitu lama tak update blog. Sebelum nampak anak bulan Ramadan sampai masuk fasa ke-2. Hahaha. Apakan daya, sis busy.

Ramadan Day 1 - bersahur dan berbuka seorang diri. Ikutkan boleh saja berpuasa di rumah mak aku yang hanya 20 minit perjalanan dari rumah, tapi itulah aku lagi suka stay rumah suami sebab dekat dengan MRT. Bulan puasa ni bos aku beri kelonggaran balik pukul 4 petang, tapi kena masuk pukul 8 pagi. Bos aku juga bermurah hati bagi work from home 2 kali seminggu. Beli juadah di bazaar saja. Nasi lemak ayam berempah. Nasi dan ayam sedap, sambal saja yang mengecewakan. Terawih di rumah sebab badan lemau. Aircond opis sejuk! Ke sejuk sebab tak makan? Wallahu'alam.

Ramadan Day 2 - last day PJJ! Patutnya encik suami sampai dalam pukul 4 petang, tapi sebab gerak lambat dari Dungun, pukul 6 lebih baru sampai di pejabat. Mintak tolong adik ipar pergi ambil. Nak masak, baru perasan barang dapur banyak dah habis. Goreng bihun favourite En.I. Aku beli murtabak, air tebu dan agar-agar di bazaar. Kecewa lagi sebab agar-agar pulak tak sedap kali ni. Anak-anak adik ipar makan sikit je letak balik. Terawih di rumah lagi sebab En.I kepenatan. 

Ramadan Day 3 - Aku masak telur masin masak lemak cili padi untuk sahur. WFH. Cuaca panas sungguh. Sakan aku mendobi. Sebab dah penat mendobi dan mengemas barang En.I balik dari kursus, kita berbuka kat luar. Malamnya En.I je gi terawih. Aku terawih di rumah sendirian.

Restoran Kudu, Chow Kit. Ada orang tu teringin nasi kandar dari kat Pulapol lagi

Ramadan Day 4 - Adeh, nampak 'anak bulan'. Baru nak panas enjin berpuasa. Balik kerja, goreng bihun je untuk En.I. Alhamdulillah suami aku ni jenis simple je bab makan.

Ramadan Day 5 - Keluar gi Aeon top up barang dapur. Kawan En.I bagi lauk daging salai masak lemak untuk berbuka. Yay tak payah masak.

Ramadan Day 6 - Berbuka rumah mak dengan adik-beradik aku yang lain. Abang-abang aku je tak dapat datang. Anak-anak saudara excited jumpa Pak Tam diorang setelah sekian lama. Solat maghrib, Isyak dan terawih berjemaah di rumah. Sayangnya aku cuti solat. Rindu nak jemaah ramai-ramai dengan famili. Plot twist : Sorang pun tak ingat nak amik gambar. 

Demi nak bagi entry cantik, aku letak jugak gambar lama. LOL

Ramadan Day 7 - MC sebab tak sedap badan. Mana badan tak lemau. Opis sejuk macam di kutub, di rumah panas macam kat gurun. Nasib baik ada lebihan lauk dari berbuka rumah mak yang aku simpan dalam fridge. Aku bekalkan untuk En.I berbuka di tempat kerja sebab dia shift malam. 

Ramadan Day 8 - WFH, so masak Udang Salted Egg untuk En.I. Alhamdulillah En.I kata sedap. Berani dia kata tak sedap. Hahaha

Ramadan Day 9 - Tak sempat masak untuk En.I tapi ada sumbangan makanan berbuka di opis. Alhamdulillah, rezeki.

Ramadan Day 10 - Kembali berpuasa. Yay! WFH, jadi dapat masak ayam masak kicap extra halia untuk En.I bawak bekal berbuka. Sekali En.I buat surprise belikan lasagna dari Zus. Suami aku ni kadang-kadang tak boleh dijangka. Kau ada, berbuka lasagna! Lauk ayam masak kicap simpan sahur. Malamnya pergi terawih di surau flat. Lain betul vibenya berbanding surau dan masjid kawasan perumahan rumah parents. Rindu pulak.

Entahlah korang baca tidak, tapi tak kisahlah. Aku tulis sini sebagai memori sendiri. Kenangan pertama kali berpuasa sebagai isteri. Penat, tapi seronok. Adakala menguji kesabaran. Zaman aku bujang dulu, bertahun-tahun berbuka di surau sahaja sebab mak abah aktif sebagai AJK. Boleh dikira dengan jari berapa kali masak.

OKlah, selamat berpuasa semua! Terima kasih kepada blogger yang selalu share menu. Dapat jugak idea nak masak apa. Apa pun, sama-samalah kita berusaha mengelak pembaziran makanan di bulan Ramadan. 

Ingat pepatah ni.. Tak pandai masak takpe, asal jangan berniaga di bazaar Ramadan..

Read More

Lagu 'Hasrat' Amir Jahari mengimbau memori menonton Imaginur

Monday, 4 March 2024

 Janji dengan I...

Janji Apa?

Ingat I...


First of all, tahniah Amir Jahari atas kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke 38 menerusi lagu 'Hasrat'. Layak ke tak layak ke, siapalah aku yang tiup rekoder pun sumbang ni untuk memberi pendapat. Lagipun, dari 12 lagu yang bertanding, aku cuma cam lagu Hasrat dan Santai. Terjerit kecil aku depan TV masa nampak cameo Beto Kusyairi dan Diana Danielle sewaktu persembahan Amir Jahari. Persembahan yang rileks dan simple tanpa perlu vokal menjerit.

Kali pertama aku dengar lagu 'Hasrat' adalah sewaktu menonton filem 'Imaginur' tahun lepas. Hasrat merupakan lagu tema filem tersebut. Aku menonton Imaginur di wayang bersama best friend aku ND.

Tarikan utama kitorang nak tengok Imaginur of course lah sebab Beto Kusyairi yang memegang watak Zuhal. Watak Zuhal sering melihat Nur, (lakonan Diana Danielle) dalam mimpi yang berulang-ulang.

Pada suatu hari Zuhal terlihat gadis yang mirip Nur dan cuba menghampiri gadis tersebut. Malangnya Zuhal terlibat dalam kemalangan. Apabila Zuhal sedar, dia berada di hospital bersama bapanya (Meor Hashim Manap) yang menghidap Alzheimer. Di hospital, Zuhal bertemu seorang wanita (Fatimah Abu Bakar) yang mencadangkan Zuhal bertemu pakar hipnosis, Dr.Ramli (Afdlin Shaukie) untuk mengubati masalahnya.

Imaginur pada pandangan aku adalah sebuah filem yang perlu ditonton secara khusyuk, babak demi babak untuk faham sebab plot filem ni tak mengikut kronologi. Seperti Zuhal yang confuse yang mana realiti, yang mana mimpi, begitulah aku sebagai penonton. Karakter Dr.Ramli yang nampak macam 'doktor gila' buat aku terhibur dan jadikan movie ni light sedikit. Kalau tak, macam psikothriller berat pulak.

Memori kita ni funky. Ada yang real, ada yang macam real. Selalunya kita yang buat dia real.

Filem bertema romantik+sains fiksyen arahan Nik Amir Mustapha (KIL, Terbaik Dari Langit) bergerak pada pace yang tak berapa laju, tak berapa perlahan. Suka tengok chemistry Beto-DD. Senang cerita, filem ni very typical Nik Amir. Siapa yang suka filem yang 'pening kepala', ada flashback, dejavu dan plot twist conform akan terhibur menonton Imaginur.

Filem ni tak silap aku tinggi juga kutipannya. Mungkin populariti Beto Kusyairi dan filem yang tak cliche membuatkan ia mendapat sambutan. Aku harap akan masuk Netflix atau tayang time raya sebab ada beberapa persoalan yang tak terjawab. Maybe tengok kali kedua akan lebih faham.

Teriaklah

Sekuat mana pun aku

Suara ini tiada mendengar

Teriaklah

Berhenti berharap

Teruskan hidupmu

Ku ingin pulang


Read More

Hello March, Goodbye February!

Friday, 1 March 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Happy (belated) leap day 2024! Cadangnya nak publish entry ni 29 Februari tapi sibuk yang entah apa-apa. Teringat zaman budak-budak dulu, excited bila tahun lompat padahal rutin seperti biasa. Dah dewasa ni makin cynical, susah nak teruja dengan benda-benda kecil. Semuanya meh..been there done that padahal pengalaman hidup takdelah banyak mana pun. Sembang je lebih.

Cuti sekolah ni bawaklah anak-anak sedara aku jalan. Kang kata Mak Tam dah kahwin, tak ingat kat diorang dah. Drama tau masing-masing

Bulan Februari walaupun pendek tapi sibuk. Sejak berkahwin, komitmen dah bertambah kepada dua keluarga. Kalau dulu, hanya sibukkan mak ayah sendiri, sekarang kena sibuk mak ayah mertua dan ipar duai jugak. Bukan sibuk hal tepi kain ye, tapi biasalah adat berkeluarga.

Masa belum kahwin dulu, selain dari takut dapat suami yang tak baik, dapat keluarga mertua dari neraka pun seram jugak. Alhamdulillah aku dapat in laws yang sangat baik yang boleh terima aku seadanya. 

Selagi tak masuk bulan puasa, selagi itulah ada kenduri kahwin. Asal pergi je kena tanya " Suami mana?".

Aku agak overwhelmed menanti ketibaan Mac. En.I akan tamat kursus pertengahan bulan nanti. Selain itu, ini kali pertama berpuasa sebagai seorang isteri. Harap boleh tunaikan tanggungjawab dengan baik. Harap takde kes terlepas sahur. Hahaha.

Event makan-makan kat tempat kerja. Walaupun tak suka kerja aku, tapi colleagues aku baik-baik so bolehlah tahan duduk sini. Nak cari kerja lain, susah dapat.

Hopefully Mac baik-baik sahaja. Semoga kenaikan SST dari 6% ke 8% tak menyumbang kepada kenaikan harga barangan walaupun bunyinya seperti angan-angan mat jenin.

Aku juga mahu berhenti angan-angan mat jenin untuk update entry sehari sekali. Bulan Februari entry lagi sikit dari Januari. Bahan ada, tapi mood selalu ke laut. Puncanya, seminggu aku tak dengar khabar berita dari En.I. Aku pulak tak boleh contact dia sebab handphone para pelatih dipegang pihak atasan. Aku belajar erti berharap sepenuhnya pada Allah. Sehabis tawakal agar Tuhan jagakan dia.

Cmanelah korang yang suami kerja anggota, offshore atau PJJ berbulan, bahkan bertahun. Dengan anak berderet, uruskan segalanya sendirian. Korang memang hebat. Aku ni setakat berjauhan 2 bulan, bil internet pun lupa bayar. Adeh.


Pantai-pantai di Dungun memang cantik, tapi tengoklah ombak bergulung, memang tak sesuai untuk mandi

Highlight of last month, my trip to Dungun melawat En.I. Ada juga yang ingat aku ke sana, boleh bawak dia outing. Hakikatnya hanya jumpa dalam perkarangan PULAPOL. Tu pun datang tengahari, petang dah balik. Balik dari melawat dia tu aku singgah la pantai-pantai di Dungun. Takde pulak jumpa penyu di Rantau Abang. Penyu naik darat malam-malam je kot.



Pergi je naik flight, balik nak jimat aku naik bas ekspres. Jimat tak jimatlah, saja nak try AliBaba Express. Harga tiket RM50. Agak pricey.

Naik bas AliBaba ni kononnya sebab ada toilet, kemudahan microwave dan water heater. Penyudahnya pergi toilet dan makan semua di R&R sahaja. 

Semoga urusan kita semua dipermudahkan untuk bulan Mac ni. Selamat berpuasa! (in advance).Thanks for reading!
Read More

Stadium Wembley jadi saksi - Liverpool FC Carabao Cup Final Winner

Monday, 26 February 2024

Assalamualaikum dan hai semua! Hambar betul tajuk entry. Dah lama tak menulis pasal bola sepak so tak tahu nak letak tajuk apa. Sejak sibuk dengan persiapan perkahwinan sampailah sekarang dah jarang sangat tengok game Liverpool FC. Lagipun takde geng. Kalau dulu selalu tengok dengan Abah, tapi suamiku En.I tak minat bola. 

Orang selalu predict aku akan kahwin dengan lelaki yang kaki bola tapi hakikatnya aku tak pernah ada boyfriend yang sama minat tengok bola sepak macam aku. Maybe sebab bila tengok bola, perangai 'jantan' aku keluar, so diorang terus tak selera. Kah kah. 

Anyway, game kali ni aku dapat tengok sebab start awal (11 malam). Kalau match pukul 3, 4 pagi mungkin liat aku nak bangun. Aku tengok pun di handphone sahaja. Sementara aku dan En.I masih ber PJJ ni bolehlah tonton tanpa gangguan.

Sebelum game start aku tak letak harapan tinggi memandangkan Liverpool FC dilanda masalah kecederaan beberapa tonggak utama iaitu Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Trent Alexander-Arnold. Begitupun, di bawah pimpinan Kapten Virgil Van Djik dan semangat game League Cup terakhir Jurgen Klopp sebelum kontrak tamat (menaip tentangnya saja buat aku nak nangis), Liverpool FC bermain dengan agak baik.

Ia boleh dikatakan perlawanan yang agak menarik dan mendebarkan walaupun pemain-pemain yang diturunkan ratanya masih muda dan kurang berpengalaman. Ada beberapa percubaan yang terkena tiang, diselamatkan penjaga gol dan 2 gol dibatalkan kerana ofsaid. Kemenangan berpihak pada Liverpool FC apabila tandukan Virgil Van Djik pada minit ke-28 masa tambahan menerobos gawang Chelsea. Syukurlah tak terheret ke penentuan set penalti sebab aku dah mengantuk. Masa upacara penyampaian piala aku tertidur. Hahaha. Tua dah ni tak larat berjaga lama-lama.

Pagi ni kita ke tempat kerja dengan senyuman. Monday Blues hanya untuk penyokong Chelsea FC sahaja ya. 

YNWA Reds!


Read More